
LIMA: Kerajaan Peru mengisytiharkan darurat di 796 daerah merentasi 22 wilayah dan Wilayah Perlembagaan Callao, susulan hujan lebat yang dikaitkan dengan fenomena El Nino, menurut Pejabat Presiden semalam, lapor Xinhua.
Langkah darurat itu akan dikuat kuasa selama 60 hari, membolehkan tindakan segera dan perlu dilaksanakan bagi mengurangkan risiko sedia ada serta menyokong usaha tindak balas dan pemulihan.
Menurut Institut Pertahanan Awam Kebangsaan, El Niño yang berterusan di pesisir pantai dan di kawasan tengah Pasifik, serta jangkaan peningkatan semasa musim hujan akan datang, memerlukan tindakan segera daripada kerajaan.
Pentadbiran Peru memberi amaran bahawa keupayaan tindak balas beberapa kerajaan wilayah telah terbeban, sekali gus menjadikan campur tangan teknikal dan operasi oleh agensi utama kerajaan pusat amat diperlukan. – Bernama