
LIMBANG: Pertubuhan Kebajikan Dangsanak Limbang di Kuching, Miri dan Semenanjung memainkan peranan penting dalam menjaga kebajikan, mengeratkan silaturahim serta membantu warga Limbang yang menghadapi kesulitan.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata kerajaan amat menggalakkan penubuhan pertubuhan ini bagi menjaga kepentingan ahlinya yang merupakan anak jati Limbang dan menetap di luar daerah itu.
“Pertubuhan ini penting untuk menjaga kebajikan. Melaluinya, kita dapat berkongsi suka dan duka serta bersama-sama membantu terutama ketika berdepan kesusahan.
“Contohnya, jika ada ahli meninggal dunia di Kuching, urusan pengebumian di Limbang dapat diusahakan dengan bantuan pertubuhan, termasuk Pertubuhan Kebajikan Dangsanak Limbang Miri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Hari Raya Jalinan Kasih anjuran bersama Persatuan Melayu Limbang (PML) dan Pertubuhan Kebajikan Dangsanak Limbang Miri di Dewan Kampung Bunga Raya, hari ini.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah, Pengerusi PML Mohamad Abu Bakar dan Timbalan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Dangsanak Limbang Miri Mohamad Hamit Basar.
Beliau berkata, Pertubuhan Kebajikan Dangsanak Limbang Miri merupakan pertubuhan kebajikan yang membantu warga Limbang di Miri, khususnya dalam kes pesakit kritikal yang perlu dirujuk ke Hospital Miri serta pengurusan jenazah.
Beliau menambah, pertubuhan ini turut melaksanakan pelbagai program bukan sahaja dalam aspek kebajikan, malah meliputi pendidikan dan sosial.
Oleh Adeng Edrus