
SIMANGGANG: Pertubuhan Chee Chuan Khor terus membuktikan peranannya sebagai sebuah pertubuhan yang aktif dan komited dalam kerja-kerja kebajikan serta pembangunan masyarakat menerusi pelbagai inisiatif berterusan yang memberi manfaat langsung kepada golongan memerlukan.
Ahli Parlimen Sri Aman, Dato’ Sri Doris Sophia Brodie, berkata pertubuhan berkenaan memainkan peranan penting dalam membantu masyarakat setempat, khususnya dalam memperkukuh jaringan kebajikan dan semangat kesukarelawanan di kawasan Simanggang.
Beliau berkata demikian semasa melakukan lawatan ke bangunan Pertubuhan Chee Chuan Khor Simanggang, semalam, bagi meninjau pelaksanaan aktiviti serta program kebajikan yang telah dan sedang dijalankan oleh pertubuhan itu.

Menurut beliau, antara inisiatif utama yang dilaksanakan termasuk Majlis Sejambak Kasih, penyediaan bantuan kerusi roda dan katil pesakit, serta sumbangan makanan kepada keluarga yang kurang berkemampuan yang jelas memberi impak positif kepada kesejahteraan komuniti.
Katanya, usaha berterusan tersebut bukan sahaja meringankan beban golongan memerlukan, malah mencerminkan keprihatinan pertubuhan terhadap aspek kebajikan sosial yang menyeluruh dan berteraskan nilai kemanusiaan.
Selain fokus kebajikan, Pertubuhan Chee Chuan Khor turut aktif menganjurkan program pembangunan belia melalui aktiviti sukan dan pembentukan sahsiah bagi melahirkan generasi muda yang sihat, berdisiplin serta berdaya saing.
Beliau turut memuji komitmen ahli jawatankuasa dan para sukarelawan pertubuhan yang sentiasa berganding bahu menjayakan setiap program demi kepentingan masyarakat tanpa mengira latar belakang.
Doris berharap usaha murni yang dilaksanakan oleh Pertubuhan Chee Chuan Khor ini akan terus diperkasakan, diberkati serta menjadi inspirasi kepada lebih banyak pertubuhan dan pihak lain untuk bersama-sama menyumbang kepada pembangunan dan kesejahteraan masyarakat.
Oleh Adi Safarman