KUCHING: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) bersama-sama Kerajaan Sarawak sedang berusaha keras untuk mempertingkatkan pembangunan sosio-ekonomi negara dan Sarawak khususnya melalui agenda keusahawanan.
Menterinya, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata sedemikian semasa mengadakan kunjungan hormat kepada Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang juga Menteri Permodenan Pertanian, Tanah Adat dan dan Pembangunan Wilayah di Wisma Bapa Malaysia, semalam.
Menurut beliau, lawatan kerja ke negeri ini jelas menunjukkan komitmen MEDAC dalam memastikan agenda keusahawanan negara terus dibudayakan ke seluruh negara melalui kerjasama strategik bersama Kerajaan Sarawak.
“MEDAC telah mencadangkan tiga jalinan kerjasama yang dapat diterokai yang merangkumi usaha-usaha koperasi bagi persatuan nelayan dan peladang, penubuhan cawangan Bank Rakyat di Sarawak dan kerjasama kementerian dan Kementerian Pengajian Tinggi mengenai latihan keusahawanan kepada pelajar universiti tempatan yang akan tamat pengajian.
“Ini adalah pelan usaha MEDAC dalam memastikan agenda keusahawanan negara terus bergerak dengan lancar dan jayanya ke seluruh negara agar aspirasi negara untuk menjadi ‘Negara Keusahawanan Unggul Menjelang 2030’ akan tercapai,” ulasnya pada pertemuan tersebut.
Dato Sri Wan Junaidi pada hari yang sama turut berkesempatan mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam usaha memperkukuhkan kerjasama yang dirancang antara MEDAC dan Kerajaan Sarawak.
Pada pertemuan yang sama, beliau turut berkongsi mengenai peranan, hala tuju dan fokus MEDAC dalam usaha memperkukuhkan agenda keusahawanan negara.
“Perkongsian ini bertujuan untuk membentuk sinergi yang baik antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak melalui pelbagai inisiatif dan program keusahawanan kelak,” ujarnya.
Tambahnya lagi, MEDAC sangat berharap agar kerjasama strategik ini mampu memangkin dalam pembangunan sosio-ekonomi yang inklusif, mampan, berdaya saing selaras dengan prinsip yang digalakkan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.
Oleh Akmal Adib Yusup