KUCHING: Pengeluar kenderaan hidrogen dan elektrik disaran mempertimbangkan harga mampu milik agar kenderaan itu dapat digunapakai dan dimiliki secara meluas di Sarawak sekali gus membantu wilayah ini mencapai status negeri maju menjelang 2030.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, bagi memastikan penggunaan secara meluas di Sarawak, maka dari segi perpindahan teknologi ini boleh disegerakan.
“Buat masa ini, ada wakil kita di pihak kerajaan Sarawak telah pun berbincang dengan rakan-rakan di luar sana terutama di negara Korea, Jepun dan beberapa negara luar yang mengeluarkan kenderaan hidrogen ini termasuk kenderaan elektrik yang boleh digunakan dengan lebih meluas.
“Adalah perlu untuk mengurangkan harga kenderaan tersebut, agar ia boleh dimiliki rakyat negeri ini,” katanya ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Seminar Bandaraya Rendah Karbon bertempat di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.
Ujarnya, sekiranya perpindahan teknologi ini dapat dilakukan dengan baik yang mana pengeluaran kenderaan itu dilakukan atau diadakan di negeri ini, Sarawak boleh mengeluarkan kenderaan hidrogen atau elektrik dengan harga lebih murah.
“Jika ini berlaku, maka kenderaan tersebut boleh dimiliki setiap warga Sarawak, ia boleh membantu kita untuk mengurangkan pencemaran udara hasil daripada pelepasan karbon dioksida, monoksida dan sebagainya.
“Saya rasa ini sedang dibincang diperingkat negeri untuk kita mengeluarkan kenderaan hidrogen dan kenderaan elektrik pada masa akan datang,” jelasnya.
Katanya lagi, inisiatif industri hijau melalui kenderaan hidrogen telah dilaksanakan di Sarawak empat tahun lalu.
“Saya percaya, lebih banyak kenderaan ini berada di atas jalan raya pada masa akan datang,” katanya.
Oleh Nur Ain Otsman