
Pertemuan Liverpool dan Manchester United menjadi tumpuan utama aksi Liga Perdana hujung minggu ini, dengan pasukan Arne Slot berusaha menamatkan rentetan kekalahan mereka. Foto AFP
LONDON: Liverpool pasti terdesak untuk mendapatkan semula rentak mereka menentang musuh tradisi Manchester United hujung minggu ini, namun skuad kendalian Ruben Amorim turut berhasrat mencipta kemenangan jarang di Anfield.
Juara bertahan itu hanya tewas sekali dalam 14 pertemuan terakhir Liga Perdana menentang United, tetapi kini berdepan tiga kekalahan berturut-turut dalam semua pertandingan, membolehkan Arsenal mengambil alih kedudukan teratas.
Liverpool sandarkan kelebihan Anfield menentang Man Utd
Apabila Liverpool memulakan musim ini dengan lima kemenangan berturut-turut dalam Liga Perdana, ramai menjangkakan mereka berada di landasan tepat untuk menjulang kejuaraan liga ke-21 — satu lebih banyak daripada United.

Namun kelemahan yang sebelum ini disembunyikan dengan jaringan lewat akhirnya terdedah selepas kekalahan kepada Crystal Palace dan Chelsea, selain tewas dalam saingan Liga Juara-Juara kepada Galatasaray.
Liverpool, yang kini satu mata di belakang pendahulu Arsenal, sempat menyindir United di media sosial minggu ini dengan mengingatkan kekalahan 7-0 yang mereka berikan pada Mac 2023.
Mohamed Salah menjaringkan dua gol dalam perlawanan itu dan mempunyai rekod cemerlang menentang United — menjaringkan gol dalam 10 daripada 11 pertemuan terakhir antara kedua pasukan dalam semua kejohanan.
Namun penyerang Mesir itu kini mencari semula sentuhan jaringan, manakala pemain baharu seperti Florian Wirtz dan Alexander Isak masih bergelut untuk menyesuaikan diri. Pasukan Arne Slot juga dilihat goyah di bahagian pertahanan.
United, yang tidak pernah menang di Anfield sejak 2016, berjaya mencatat dua keputusan seri berturut-turut di sana.
Skuad Amorim yang kini di pertengahan liga mungkin tidak menakutkan Liverpool, tetapi mereka berpotensi mengambil kesempatan atas kelemahan tuan rumah. – AFP