
ATLANTA: Argentina yang diketuai Lionel Messi akan berdepan England dalam separuh akhir Piala Dunia yang dinanti-nantikan pada 3.00 pagi esok (waktu Malaysia), dengan Sepanyol sudah menunggu di final selepas memusnahkan harapan Perancis untuk menjulang trofi buat kali ketiga.
Pertemuan antara dua gergasi bola sepak dunia itu sememangnya cukup mengujakan, lebih-lebih lagi dengan latar ketegangan politik yang telah berpanjangan sejak sekian lama.
Argentina kendalian Lionel Scaloni memburu sejarah sebagai pasukan pertama sejak Brazil pada 1962 untuk mempertahankan kejuaraan Piala Dunia, sekali gus menjadi penutup yang sempurna buat legenda hidup, Messi.
Pemain berusia 39 tahun itu, yang berkongsi kedudukan teratas senarai penjaring terbanyak dengan lapan gol, membawa Argentina menjuarai Piala Dunia di Qatar pada 2022 dalam apa yang ketika itu dianggap penampilan terakhirnya di pentas terbesar bola sepak dunia.

Namun Messi kembali sekali lagi dan memainkan peranan penting membawa pasukannya ke separuh akhir menerusi kemenangan sengit 3-2 ke atas Cape Verde dan Mesir.
Argentina yang pernah muncul juara dunia tiga kali bakal berdepan lawan yang jauh lebih mencabar di Atlanta berbanding pasukan yang mereka temui sebelum ini, walaupun England hanya sesekali mempamerkan aksi memukau.
Skuad bimbingan Thomas Tuchel banyak bergantung kepada ketajaman Harry Kane dan Jude Bellingham, yang menyumbang 12 daripada 13 gol England setakat ini.
Kedua-dua pasukan akan bertemu buat kali pertama dalam aksi kompetitif sejak Piala Dunia 2002.
Tuchel berkata beliau tidak merasakan tekanan tambahan walaupun perlawanan itu mempunyai nilai sejarah yang besar ketika England memburu penampilan final Piala Dunia pertama sejak menjuarai kejohanan pada 1966.
“Saya tidak merasakan beban,” katanya.
“Kami merasai ketegangan dan pasti akan gementar, tetapi itu perkara biasa.

Apa yang saya suka ialah saya dapat melihat para pemain benar-benar kompetitif, lapar dan teruja untuk bermain dalam perlawanan ini.”
Jurulatih dari Jerman itu turut mengesahkan pemain tengah Declan Rice, yang sebelum ini mengalami masalah kesihatan, cergas untuk diturunkan.
Penuh drama
Sejarah pertemuan kedua-dua pasukan sarat dengan drama.
Perlawanan Piala Dunia paling terkenal antara mereka ialah kemenangan 2-1 Argentina pada suku akhir di Mexico pada 1986 yang menampilkan dua gol Diego Maradona – satu gol kontroversi “Hand of God” dan satu lagi jaringan solo yang menakjubkan.
Dua belas tahun kemudian, David Beckham dilayangkan kad merah di Perancis sebelum Argentina menang menerusi penentuan penalti.
Pertemuan antara kedua-dua negara juga sering berlangsung dalam bayang-bayang pertikaian kedaulatan Kepulauan Falkland, atau Malvinas dalam bahasa Sepanyol, di Lautan Atlantik Selatan.
Pada 1982, Britain menghantar pasukan tenteranya untuk merampas semula pulau itu selepas ia diceroboh tentera Argentina.
Scaloni bagaimanapun cuba meredakan sentimen tersebut dalam beberapa hari kebelakangan ini.
“Hakikatnya ini hanyalah perlawanan bola sepak,” katanya.
“Saya tidak mahu mencampuradukkan segala-galanya, terutama perkara yang berlaku begitu lama dahulu.
Ia adalah tempoh yang sangat menyedihkan dalam sejarah kami dan kami tidak boleh mengubah apa-apa. Ini hanya permainan bola sepak.”
Kedua-dua pasukan, yang berada dalam kelompok empat terbaik dunia menurut ranking FIFA, bersaing untuk menempah pertemuan dengan Sepanyol dalam final awal pagi Isnin ini (waktu Malaysia) di New Jersey.
Sepanyol singkir Perancis
Sementara itu, pasukan kendalian Luis de la Fuente mempamerkan aksi kelas tinggi di Arlington awal pagi tadi untuk menewaskan Perancis, yang sebelum ini dianggap calon utama menjuarai Piala Dunia buat kali ketiga.
Namun juara Eropah itu tampil cukup klinikal bagi memastikan pengendali Perancis, Didier Deschamps, menamatkan karier Piala Dunianya dengan kekalahan.
Mikel Oyarzabal membuka tirai jaringan menerusi sepakan penalti pada babak pertama sebelum Pedro Porro menggandakan kelebihan pada separuh masa kedua.
“Kami bermula hampir empat tahun lalu dengan satu idea dan kami kekal setia kepada idea itu sehingga membawa kami ke tahap ini,” kata De la Fuente.
“Para pemain ini layak menerima segala-galanya. Hari demi hari mereka menunjukkan komitmen, semangat setiakawan, kemurahan hati dan bakat mereka. Mereka menjadikan sesuatu yang sukar kelihatan mudah.” – AFP




