GEDONG: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Gabungan Parti Sarawak (GPS), Amanah, Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan Parti Bumi Kenyalang (PBK).
Pertandingan empat penjuru di kerusi Gedong melibatkan Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg calon (GPS), Kamal Bujang (Amanah), Mohamad Sofian Faris Sharbini (PSB) dan Tomson Marcus Ango (PBK).
Pegawai Pengurus (RO) Pusat Penamaan Calon DUN Gedong Abdul Khalid Manap membuat pengumuman tersebut di pusat penamaan calon Dewan Masyarakat Gedong pada 10.30 pagi selepas tamat tempoh penamaan calon pada 10 pagi semalam.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menyerahkan borang pada 9.02 pagi.
Ia disusuli oleh Tomson Marcus Ango dari (PBK) menyerahkan borang pada pukul 9.04 pagi, Kamal Bujang (Amanah) pada
9.11 pagi.
Manakala dari (PSB) Mohamad Sofian Faris Sharbini sekitar
9.14 pagi.
Terdahulu, ketibaan Abang Johari di Dewan Masyarakat Gedong disambut dengan laungan ‘Hidup Abang Jo, Hidup GPS’.
Abang Johari memasuki pekarangan sebelum 9.02 sambil diiringi pencadang, Datuk Mohd Naroden Majais dan disokong Penghulu Iban Islam Kawasan Ulu Simunjan, Mohd Najib Arbi.
Ini merupakan kali pertama Abang Johari bertanding di DUN Gedong selepas berpindah dari DUN Satok yang dimenanginya selama sembilan penggal berturut-turut iaitu dari tahun 1981, 1983, 1991, 1996, 2001, 2006, 2011 dan 2016.
Naroden adalah bekas ADUN Gedong sejak 1991, dan telah memberi laluan kepada Abang Johari untuk bertanding di kerusi tersebut. Jumlah pengundi berdaftar di DUN 7,208.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hanya calon, pencadang dan penyokong calon dibenarkan masuk ke PPC bagi mengemukakan kertas pencalonan calon.
Sementara, penyokong parti politik yang diwakili bakal calon tidak dibenarkan masuk, begitu juga sebarang aktiviti berkumpul dan perarakan penyokong calon bertanding tidak dibenarkan di mana-mana tempat sepanjang hari penamaan calon.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Sarawak ke-12 pada 18 Disember dan undi awal pada 14 Disember.
Oleh JEAKQLEYN YACHO