
LONDON: Brooklyn Peltz Beckham, anak kepada David Beckham dan Victoria Beckham, menegaskan dia tidak mahu “berdamai” dengan keluarganya, lapor PA Media/dpa.
Brooklyn, 26, buat kali pertama bersuara dan mengakui pertelingkahan antaranya dan keluarga dalam perkongsian di Instagram.
Dalam kenyataan menerusi Instagramnya semalam, dia mendakwa ibu bapanya telah mengawal naratif dalam akhbar mengenai keluarga mereka dan cuba “merosakkan” hubungannya dengan isteri Nicola.
Dia berkata: “Saya telah berdiam diri selama bertahun-tahun dan berusaha sedaya upaya untuk merahsiakan perkara ini.
“Malangnya, ibu bapa saya dan pasukan mereka terus pergi ke akhbar, menyebabkan saya tiada pilihan selain bercakap untuk diri sendiri dan memberitahu perkara sebenar tentang beberapa pembohongan yang diterbitkan.
“Saya tidak mahu berdamai dengan keluarga saya. Saya tidak dikawal, saya membela diri buat kali pertama dalam hidup saya.
“Sepanjang hidup saya, ibu bapa saya telah mengawal naratif dalam akhbar tentang keluarga kami. Catatan media sosial yang menarik perhatian, acara keluarga dan hubungan yang bersifat kepura-puraan menjadi sebahagian dari kehidupan saya.
“Baru-baru ini, saya telah melihat dengan mata kepala saya sendiri sejauh mana mereka sanggup berbohong di media, kebanyakannya dengan mengorbankan orang yang tidak bersalah, untuk memelihara imej mereka. Tetapi saya percaya kebenaran sentiasa terbongkar.”
Nicola, yang merupakan anak kepada ahli perniagaan bilionair Amerika Nelson Peltz dan bekas model Claudia Heffner Peltz, berkahwin dengan Brooklyn pada 2022.- Bernama-PA-Media/dpa