SETIAP makhluk yang bernyawa memerlukan tempat berteduh. Bagi haiwan, perteduhan hadir dalam bentuk gua, lubang pada pohon pokok, sarang, reban dan seumpamanya. Bagi manusia, peredaran zaman menyaksikan fasa peralihan daripada zaman gua batu kepada sistem perumahan yang selesa dan lengkap kemudahannya. Malah, daripada rumah yang berasingan atau detached house, kini berubah menjadi rumah berkembar (semi-detached), pangsapuri, kondominium, teres dan sebagainya.
Pertambahan bilangan penduduk, berbanding kestatikan keluasan tanah, menyaksikan pembinaan rumah kediaman mengunjur secara horizontal. Sekiranya pembinaannya mengunjur secara vertikal, keluasan sesebuah rumah perlu ‘disempitkan’, bagi memenuhi tuntutan ‘penjimatan’ dari segi keluasan tanah, di samping penjanaan pendapatan yang lebih, dalam konteks pembinaan yang diusahakan oleh pemaju swasta, khususnya.
Isu perumahan bukan isu baharu, malah telah berlanjutan agak sekian lama. Isu berkenaan semakin hangat diperkatakan apabila persoalan kemampuan pemilikan rumah dibangkitkan. Soal yang membabitkan kenaikan harga rumah yang dikatakan berpunca daripada kenaikan nilai hartanah, di samping harga bahan-bahan binaan. Demikian juga dengan kenaikan dari segi gaji dan upah pekerja. Dalam kalangan masyarakat yang kurang berkeupayaan, khususnya mereka dalam golong B40 dan M40, masalah untuk memiliki rumah sendiri berupa igauan yang tidak berkesudahan. Untuk mengharapkan harga rumah menurun ibarat ‘mengharapkan bulan jatuh ke riba’.
Hal sedemikian sememangnya mendapat perhatian kerajaan, sama ada di peringkat negeri, mahupun pusat. Kecaknaan kerajaan akan hal sedemikian menyaksikan kerajaan, melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) merangka strategi dan pelaksanaan pembinaan rumah mampu milik di seluruh negara dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12), membabitkan Kerajaan Persekutuan, Negeri dan pemaju perumahan swasta.
Dalam kerangka pelaksanaannya, KPKT memperkenalkan kempen pemilikan rumah Home Ownership Programme (HOPE) bagi melihat ekosisitem yang lebih menyeluruh dalam penyediaan dan pembiayaan perumahan serta program yang dapat membantu Keluarga Malaysia memiliki rumah. Selaras dengan hal sedemikian juga, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggesa agar Bank Negara melihat kembali model pembiayaan perumahan agar institusi kewangan memudahkan serta melonggarkan syarat permohonan pinjaman perumahan bagi golongan B40 dan M40, khususnya.
Memetik kata-kata beliau selepas mesyuarat MPMMN, Kerajaan Persekutuan akan memberi subsidi manakala Kerajaan Negeri akan menyediakan tanah, di samping pihak bank mempermudah pembiayaan bagi memastikan harga rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) dan rumah mampu milik dapat dijual pada harga berpatutan. Tambah beliau, kerajaan komited menyediakan rumah mampu milik untuk generasi muda, selain memberi tumpuan kepada pembinaan rumah mampu milik di bandar kecil dan pinggir bandar untuk meningkatkan peluang golongan M40 membeli rumah.
Berdasarkan kenyataan sedemikian, terpancar sinar harapan bagi kebanyakan daripada kalangan rakyat di negara ini untuk memiliki rumah sendiri sebagai perteduhan yang selesa dan kondusif. Namun, dari segi penzahirannya, masih berselubung kekaburan, sama ada apa-apa yang dihasratkan mampu diterjemahkan, ataupun sekadar sebagai cetakan biru atas kertas semata-mata. Apatah lagi dalam situasi pascapandemik yang menyaksikan rakyat masih terkesan akan libasannya terhadap kehidupan masyarakat secara menyeluruh.
Proses pemulihan daripada keperitan yang dialami sudah pasti mengambil tempoh yang agak lama, tempoh yang sudah pastinya menghadirkan peningkatan dalam kos sara hidup, dan dalam konteks bidang pembinaan, kos bahan-bahan binaan. Hal yang sudah pastinya mempengaruhi harga rumah yang dibina. Walaupun jaminan diberikan dari segi pengawalan harga, namun, bagaimana pula halnya dengan soal pengawalan mutu binaan? Mampukah dijamin rumah yang dibina memenuhi piawaian yang ditetapkan? Tidak mungkinkah berlaku situasi pemanipulasian bahan binaan? Hal sedemikian sewajarnya diberikan perhatian. Usah pula nantinya berlaku situasi rumah yang dimiliki dan didiami retak dan menyenget dalam tempoh tidak hampir setahun. Pun jangan pula rumah mampu milik yang direncanakan untuk golongan tertentu, akhirnya menjadi rumah ‘mampu dilihat’ semata-mata oleh golongan berkenaan, lantas membuka ruang pemilikan kepada pihak-pihak yang berkepentingan.
Harapan agar perencanaan kerajaan mampu menyelesaikan isu pemilikan rumah dalam kalangan rakyat. Perkara yang tidak ingin disaksikan berlaku adalah, perteduhan yang diimpikan menjadi igauan ngeri yang berpanjangan.
Lindungi diri, lindungi bangsa, lindungi negara!