
KUCHING: Pasar Tani Organik Kuching atau dikenali sebagai Kuching Natural Farmers’ Market (KNMF), yang dianjurkan dua kali sebulan terus menjadi platform penting dalam menyokong usahawan dan petani tempatan di bandar raya ini.
Program tersebut berlangsung setiap Sabtu pertama dan ketiga setiap bulan di kawasan letak kereta berbumbung Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS).

KNMF kali ini menampilkan pelbagai hasil pertanian organik serta produk tempatan termasuk sayur-sayuran organik, buah-buahan tempatan, tanaman hiasan, kuih-muih dan banyak lagi.
Datuk Bandar MBKS, Dato’ Wee Hong Seng hari ini turut meninjau dan memeriahkan gerai-gerai jualan sekali gus mencerminkan sokongan berterusan terhadap pembangunan ekonomi komuniti setempat.

“Usahawan tempatan merupakan tulang belakang kepada ekonomi bandar raya ini. Sokongan kepada mereka bukan sahaja dapat meningkatkan taraf hidup, malah merancakkan lagi kegiatan ekonomi di peringkat akar umbi,” ujar beliau ketika ditemui di gerai jualan kawasan letak kereta berbumbung Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) hari ini.
Pasar tani ini bukan sahaja menjadi medan niaga bagi para usahawan, malah turut berperanan menyemai kesedaran dalam kalangan pengunjung tentang kepentingan pemakanan sihat dan amalan pertanian lestari.
Program ini juga dimeriahkan dengan persembahan muzik sape yang menambah warna suasana serta menggamit kehadiran ramai pengunjung.
Inisiatif seperti ini diharapkan dapat diteruskan dan diperluas agar lebih ramai penduduk tempatan mendapat manfaat, sekali gus memperkukuh ekosistem ekonomi komuniti di Kuching.