Konsep pertanian moden amat penting bagi mentransformasikan kehidupan penduduk luar bandar dalam negeri ini berbanding dengan amalan pertanian sara diri yang hanya memberi pulangan ‘cukup makan’ terhadap keluarga masing-masing.
Menyedari akan pentingnya penerapan konsep pertanian moden dalam kalangan penduduk luar bandar maka satu aktiviti lawatan sambil belajar melibatkan Ketua Kaum dari Sri Aman telah pun diadakan di beberapa kawasan di Kuching pada awal Oktober lepas.
Aktiviti yang berlangsung selama dua hari itu telah pun diketuai oleh Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis sambil disertai oleh 25 orang Ketua Kaum termasuk ahli JKKK dari kawasan Ulu Undop, Sri Aman.
Hari pertama aktiviti berkenaan menyaksikan Harden dan rombongan melakukan lawatan sambil belajar ke Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Sarawak dengan kehadiran mereka disambut oleh wakil Pengarah Pertanian Negeri Sarawak, Gavin Dom.
Di situ kesemua peserta program termasuk Harden telah mendengar taklimat mengenai peranan dan fungsi TKPM yang disampaikan oleh Penolong Pegawai Pertanian, Nur Falihin Junit.
Selesai sahaja di situ, para peserta kemudiannya dibawa melawat ke tapak tanaman Golden Rock Melon yang diusahakan oleh Eddison Chang Lii Chyuan selaku Holtikultur bagi pusat berkenaan.
Harden bersama peserta kemudiannya dibawa untuk melawat ke tapak tanaman chili secara fertigasi dengan penerangan mengenai projek itu disampaikan oleh Pengarah Urusan CDK Alfa Sendirian Berhad, Cooplay Nyipa Aji.
Hari kedua aktiviti lawatan sambil belajar ini diteruskan dengan kehadiran bagi kursus asas teknik tanaman fertigasi chili, halia, tanaman sayur hidroponik dan teknik tanaman cendawan di premis Kina Kara Agrofarm.
Menerusi kursus itu para rombongan telah diberi tunjuk ajar oleh pegawai dari Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan pengajar terlatih iaitu Jilum Makup mengenai cara mengendali tanaman fertigasi dan hidroponik termasuk tanaman cendawan.
Turut berkongsi idea tentang kejayaan dalam bidang pertanian bersempena dengan kursus berkenaan adalah Kina Kansar iaitu seorang usahawan wanita yang telah diiktiraf oleh Kerajaan Sarawak sebelum ini.
Usahawan wanita itu juga telah berjaya merangkul gelaran Anugerah Ketua Menteri bersempena dengan Sambutan Hari Wanita 2020 yang di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), pada Ogos lepas.
Di akhir sesi lawatan, semua peserta telah dibekalkan dengan bongkah cendawan hidup, set tanaman hidroponik, benih cili dan Rock Melon sebagai sokongan serta galakan kepada peserta untuk mencuba tanaman masing-masing.
Sementara itu Harden pada program lawatan sambil belajar berkenaan berharap agar para peserta dapat menyebar manfaat dan kepentingan aktiviti pertanian moden terhadap penduduk di kawasan masing-masing kelak.
“Tindakan para peserta ini nanti mungkin akan dapat menambah minat para penduduk untuk melaksanakan aktiviti pertanian moden berskala besar atau sekadar hobi waktu lapang di tanah masing-masing.
“Jika aktiviti itu dilakukan dengan betul maka hasilnya nanti pasti lumayan. Justeru libatkan diri dalam aktiviti pertanian moden demi mempertingkat taraf sosio ekonomi isi rumah,”kata beliau.
Beliau turut memberitahu aktiviti ini dapat membawa impak yang baik kepada setiap peserta dalam ilmu pengetahuan pertanian moden kerana kaedah yang didedah adalah merupakan pengurusan pertanian berasaskan keuntungan.
“Ilmu ini juga secara tidak langsung akan dapat menjana pulangan hasil daripada jualan produk bagi meningkatkan pendapatan dan bukan sekadar untuk keperluan makanan seharian semata-mata,” katanya lagi.
Oleh Valentine Ngumbang