
SEBAUH: Golongan belia luar bandar digesa merebut peluang dalam pembangunan agropark dan pertanian pintar berasaskan teknologi Internet Benda (IoT) bagi meningkatkan kemahiran serta menjana pendapatan lebih tinggi.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, penyertaan belia khususnya yang tinggal di kawasan luar bandar amat penting untuk memastikan transformasi sektor pertanian negeri dapat dicapai.
“Di agropark, saya harap anak-anak muda dapat belajar, diberi latihan serta mengusahakan plot tanaman yang disediakan.
“Selain itu, ada (rumah panjang) yang sudah menerima rumah hijau untuk dijadikan model pertanian moden.
“Ini peluang besar untuk mereka menguasai teknologi dan menjadikan pertanian satu kerjaya masa depan,” katanya pada majlis penangguhan Program Jangkauan Komuniti Pertanian (AgriCOP) di Rumah Tabor Lasah, Sungai Sera di sini, hari ini.
Menurut beliau, lebih 70 hektar kawasan agropark sudah dibangunkan dengan puluhan rumah hijau dilengkapi sistem moden, sekali gus membuka ruang kepada belia untuk belajar secara praktikal.
Beliau menegaskan, pendekatan itu juga selari dengan dasar kementerian untuk mengubah cara hidup masyarakat luar bandar, khususnya belia daripada keluarga B40, agar tidak hanya bergantung kepada pekerjaan tradisional.

“Kita mahu belia luar bandar berani mengambil bahagian.
“Jika mereka mampu menghasilkan produk berkualiti secara automasi, ia akan membuka jalan keluar daripada kemiskinan dan melonjakkan taraf hidup mereka,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Pertanian Sarawak, Dominic Chunggat menggesa para petani agar mendaftar dalam sistem e-Tani, yang merupakan pangkalan data rasmi kerajaan bagi menyalurkan bantuan pertanian secara lebih telus dan menyeluruh.
“Apabila maklumat sudah dimasukkan, barulah kerajaan dapat menyalurkan bantuan secara tepat dan teratur,” katanya.
Setakat ini, lebih 46,000 petani sudah mendaftar dalam sistem tersebut, namun jumlah itu masih jauh daripada sasaran 100,000 orang di seluruh Sarawak.
Oleh Carolyne Utih