PENJUAL sayur menunggu kedatangan para pembeli.Kebanyakan sayur-sayuran diambil daripada pembekal atau petani yang bermakna penetapan harga amat bergantung kepada mereka.
Aktiviti pertanian adalah kegiatan menanam atau semua kerja yang berkaitan dengan rawatan tanah dan penanaman sayur-sayuran yang mana sebahagian besar tujuannya adalah untuk pengeluaran makanan.
Dahulu, pertanian atau bercucuk tanam adalah satu aktiviti yang lazimnya dilakukan oleh orang kampung sehingga ramai tidak menyedari potensi dari segi ekonomi dalam bidang tersebut.
Dengan perkembangan teknologi dan teknik pertanian moden, aktiviti sebelum ini hanya dipandang sebelah mata kini mampu menjana pendapatan yang lumayan jika dilakukan dengan cara yang betul dan tepat.
Jika dilihat, sejak kebelakangan ini, banyak barangan telah mengalami kenaikan harga dan sayur-sayuran juga tidak terkecuali apabila harga dinaiki seringgit dua seikat.
Antara yang sering dijadikan sebab mengapa harga dinaikkan? Faktor musim dan cuaca yang menyebabkan ia begitu ‘eksklusif’.
Negara kita banyak bergantung kepada import bahan makanan yang mana risiko masalah bekalan amat tinggi sekiranya negara pengeluar menghadapi masalah seperti kemarau atau banjir.
Namun, berapa pun kenaikan dikenakan, rakyat hanya mampu menerima dengan hati pahit lebih-lebih lagi dalam situasi bekalan makanan kini yang tidak menentu.
Pakar sekuriti makanan negara daripada Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Datuk Dr Abdul Shukor Juraimi baru-baru ini dalam satu artikel tempatan berkata, kerajaan perlu menambah keluasan tanaman pertanian kritikal selain menumpukan kepada penggunaan teknologi terkini serta sistem pertanian efisien.
Hal ini kerana, katanya, kadar sara diri bagi setiap produk makanan penting negara tidak boleh terus ‘stagnant’ (di takuk sama).
Dengan populasi penduduk yang semakin meningkat, kestabilan bekalan makanan negara dilihat terus berada pada tahap membimbangkan jika masih di tahap yang sama.
Maka, penggunaan teknologi dalam tanaman pada zaman adalah satu sesuatu yang tidak dielakkan jika ingin mencapai tahap sara diri makanan yang mampan dan mencukupi.
Sistem pertanian pintar, penggunaan dron, data raya dan, kecerdasan buatan (AI) yang dibantu pula dengan penggunaan benih bermutu serta berdaya tahan tinggi daripada sebarang impak perubahan iklim, ia pastinya akan dapat mengubah landskap sektor agromakanan negara.
Oleh itu, kementerian berkaitan amat menggalakkan kumpulan sasar agar mengusahakan aktiviti pertanian secara moden dengan memasukkan sekali sentuhan teknologi dan inovasi.
Sebagai contoh, untuk menggalakkan peralihan ke pertanian moden, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) pada Disember tahun lepas mengumumkan inisiatif penaiktarafan kawasan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) yang merupakan kawasan penanaman dan pengeluaran tanaman makanan secara kekal yang terletak di seluruh Malaysia, terutamanya di kawasan luar bandar.
Tuntasnya, dalam hal ini, semua pihak yang memainkan peranan penting dalam bidang pertanian dan industri makanan perlu berjalan seiring pada landasan sama supaya sektor agromakanan menjadi lebih kompetitif dan moden serta semakin dinamik dan.
Oleh CAROLYNE UTIH