
SIMANGGANG: Budaya dan seni tari merupakan sebahagian daripada identiti rakyat Malaysia yang perlu terus dipelihara dan diperkasakan, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, usaha memartabatkan seni budaya perlu diperkukuh melalui penganjuran program dan pertandingan yang melibatkan pelajar sekolah.
Menurut beliau, pertandingan seperti ini mampu memastikan generasi muda terus mengenali, menghargai dan mengangkat seni budaya agar tidak lapuk ditelan zaman.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Penutupan Pertandingan Tarian Sekolah-sekolah Malaysia peringkat Daerah Sri Aman yang berlangsung di Dewan Suarah Sri Aman, semalam.
Tambahnya, pertandingan tersebut bukan sahaja memperlihatkan bakat dan kreativiti murid, malah menjadi wadah penting dalam memupuk semangat perpaduan serta menghargai warisan budaya pelbagai kaum di negara ini.
Dalam pada itu, Dayang Noorazah turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simanggang, para guru serta semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan program berkenaan.

Katanya, komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh semua pihak membuktikan kesungguhan dalam memastikan kelangsungan aktiviti seni dan budaya terus subur di peringkat akar umbi.
Mengulas lanjut, beliau berkata seramai 105 peserta telah mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut melibatkan 29 murid sekolah menengah dan 76 murid sekolah rendah.
Selain itu, pertandingan berkenaan turut disertai oleh empat buah sekolah menengah serta 10 buah sekolah rendah, sekali gus menunjukkan penyertaan yang memberangsangkan.
Sehubungan itu, Dayang Noorazah berharap pertandingan seperti ini dapat diteruskan sebagai acara tahunan yang dinanti-nantikan, selain menjadi platform melahirkan generasi muda yang berdaya saing, berbudaya dan berperibadi mulia.
Oleh Adi Safarman