KABONG: Pusat Khidmat DUN N.40 Kabong akan menganjurkan pertandingan Etnik RFF 2024 sempena Festival Makanan Roban (RFF) pada 14 Disember ini.
Menurut jurucakapnya, pertandingan tersebut akan diadakan di Pentas Utama RFF bermula jam 2 petang.
“Tarian etnik merujuk kepada tarian yang berkait rapat dengan budaya, adat dan tradisi sesuatu kaum atau etnik. Setiap tarian etnik biasanya mencerminkan nilai budaya sejarah dan kehidupan sosial sesuatu masyarakat,” katanya.
Justeru, katanya pertandingan Etnik RFF 2024 ini adalah terbuka kepada peserta yang berusia 18 tahun dan ke atas.
“Jenis tarian mestilah berunsurkan etnik atau tradisional. Setiap kumpulan hanya boleh mempersembahkan satu jenis tarian dan setiap kumpulan terdiri daripada sekurang-kurangnya lapan orang sahaja.
“Tempoh masa persembahan tarian hendaklah di antara lapan hingga 10 minit sahaja. Peserta disaran menggunakan pakaian tradisional yang sesuai dengan tarian.
“Muzik yang digunakan mestilah selari dengan tema etnik/ tradisional. Muzik boleh dimainkan dalam format rakaman (CD atau pendrive),” katanya.
Beliau berkata kriteria penjurian akan mengutamakan keaslian dan keunikan budaya tarian kemahiran dan ketepatan dalam gerakan tarian, penggunaan ruang, gerakan dan inovasi tanpa mengabaikan unsur tradisi, penghayatan dan emosi dalam penyampaian tarian dan kesesuaian kostum.
“Pertandingan Etnik RFF 2024 adalah terhad kepada 10 pasukan bagi kawasan Parlimen Saratok sahaja dan yuran sebanyak RM50 akan dikenakan bagi setiap pasukan yang menyertai.
“Tarikh tutup penyertaan adalah pada 13 Disember jam 4 petang,” katanya.
Dalam pada itu, pasukan yang muncul sebagai johan pertandingan Etnik RFF 2024 akan menerima hadiah wang tunai berjumlah RM800, piala dan sijil, manakala pasukan naib johan akan menerima hadiah wang tunai RM600, piala dan sijil serta hadiah wang tunai RM400, piala dan sijil bagi pasukan yang menduduki tempat ketiga.
Untuk penyertaan dan maklumat lanjut mengenai pertandingan bolehlah menghubungi urusetia Norhidayah di talian 011-33315336.
Oleh ADI SAFARMAN