
SIBU: Persatuan Graduan Australia Sarawak (SAGA) Wilayah Tengah dengan kerjasama Kelab Toastmasters Swan City akan menganjurkan Pertandingan Pidato Spontan Antara Sekolah (Interschool Impromptu Speech Contest) pada 19 Oktober bertempat di Wisma Hua Wen Du Zhong.
Pengerusi penganjur, Dr Clement Chen berkata, pertandingan tersebut terbuka kepada semua sekolah menengah di Sarawak.
“Objektif pertandingan ini adalah untuk mempromosikan penggunaan bahasa Inggeris, menggalakkan pemikiran pantas serta memberi peluang kepada pelajar untuk meningkatkan kemahiran berucap di khalayak ramai.
“Pertandingan ini dibahagikan kepada dua kategori iaitu kategori junior untuk pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3 dan kategori senior untuk pelajar Tingkatan 4 hingga Tingkatan 6,” katanya kepada pemberita hari ini.
Menurut Dr Chen, pemenang hadiah tempat pertama hingga kelima masing-masing akan menerima RM300, RM200, RM100, RM80 dan RM70 berserta trofi.
Pemenang tempat keenam hingga ke-10 pula akan menerima hadiah sagu hati sebanyak RM50 dan trofi setiap seorang.
Tarikh tutup penyertaan ialah pada 26 September.
Untuk maklumat lanjut, hubungi Dr Chen di talian 019-8896699 atau Wong Toh Hee (014-5755687) atau Annette Hu (019-8276622).
Sementara itu, Pengerusi SAGA Wilayah Tengah, Temenggong Dato Vincent Lau berkata, mereka akan mengadakan satu perjumpaan untuk ahli pada 28 September di Payung Garden, Jalan Wong King Huo di sini.
Katanya, acara yang diadakan sempena dengan Festival Kuih Bulan itu bertujuan menghimpunkan ahli SAGA dan juga sebagai usaha untuk menarik lebih ramai ahli baharu.
“Kami percaya masih ramai graduan Australia di Sarawak yang belum menyertai persatuan ini. Kami juga mahu kembali berhubung dengan ahli lama,” ujarnya.
Untuk maklumat lanjut mengenai perhimpunan itu, hubungi pengerusi penganjur Lucy Tang di talian 016-8635536.
Oleh Akun Giman