
Pertandingan Rejang Petanque Double Open Siri 2 anjuran Rejang Extreme Boules Club, hari ini.
SIBU: Pertandingan petanque bukan sekadar medan untuk mencari kejuaraan, sebaliknya menjadi platform memperkukuhkan semangat kekitaan dan membina ukhwah dalam komuniti sukan tersebut.
Pemanca Sharifah Ainie Sayeed Alwie berkata, sukan petanque semakin mendapat tempat di hati masyarakat Malaysia, bukan sahaja kerana keunikan dan gaya santainya, tetapi juga kerana nilai kesukanan dan kemasyarakatan yang dibawanya.
“Petanque mengajar kita erti ketenangan, ketepatan, strategi, dan kerjasama berpasukan. Ia bukan sekadar permainan membaling bola besi, tetapi satu aktiviti yang membentuk disiplin, fokus, dan semangat berpasukan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap mewakili Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr. Annuar Rapaee merasmikan Pertandingan Rejang Petanque Double Open Siri 2 anjuran Rejang Extreme Boules Club, hari ini.
Katanya, melalui pertandingan ini, masyarakat dapat bergaul, bertukar pandangan, dan mewujudkan hubungan yang lebih erat antara pemain dari pelbagai daerah, negeri, malah dari luar kawasan Sibu.
“Saya amat berbangga melihat penyertaan yang begitu menggalakkan dalam pertandingan ini.
“Kehadiran pasukan dari pelbagai latar belakang membuktikan bahawa sukan menjadi wadah penyatuan yang berkesan selaras dengan semangat Malaysia MADANI, yang menekankan nilai hormat, muafakat, dan perpaduan,” ujarnya.
Seramai 250 peserta membabitkan 125 kumpulan dari seluruh Sarawak termasuk negara Brunei Darussalam memulakan saingan pada Pertandingan Rejang Petanque Double Open Siri 2 yang berlangsung di Dataran Tun Tuanku Bujang, hari ini.
Turut hadir, Presiden Persatuan Sukan Boules Negeri Sarawak Dato’ Wan Abdillah Edruce dan yang lain.
Oleh Akun Giman