
SARIKEI: Platform mencungkil bakat seni kanak-kanak terus diperkasakan melalui penganjuran pertandingan nyanyian Mandarin untuk kanak-kanak.
Menurut Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii, nyanyian bukan sekadar satu bentuk bakat seni, malah merupakan medium penting bagi kanak-kanak mengekspresikan emosi serta membina keyakinan diri sejak usia muda.
“Melalui pertandingan seperti ini, kanak-kanak belajar untuk berani tampil di hadapan khalayak, mengatasi rasa gementar dan menonjolkan potensi diri masing-masing.
“Pendedahan awal kepada aktiviti seni juga membantu memupuk semangat kerjasama, persahabatan dan interaksi positif dalam kalangan kanak-kanak,” kata beliau menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Penghulu Huang Tiong Kang.
Tambahnya, pengalaman berharga yang diperoleh melalui pertandingan seumpama ini akan menjadi kenangan bermakna dalam proses tumbesaran mereka dan menyumbang kepada pembentukan sahsiah yang seimbang.
“Pertandingan ini bukan sahaja menjadi medan memperlihatkan bakat nyanyian, malah berperanan sebagai platform pembangunan sahsiah, keberanian dan disiplin dalam kalangan peserta cilik,” katanya.
Pertandingan tersebut merupakan anjuran Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS), Perkumpulan Muhibah serta sebuah restoran baru-baru ini.
Oleh Earl Anek