KUCHING: Majlis Seni Sarawak (MSS) akan menganjurkan lebih banyak program berunsurkan kesenian dan kebudayaan pada masa akan datang khususnya bagi generasi baharu di negeri ini, Kata Ketua Eksekutif Majlis Seni Sarawak, Sharkawi Amit.
Menurutnya, inisiatif yang telah diambil oleh Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak dalam menganjurkan Pertandingan Nopeng adalah baik untuk memelihara dan memulihara kesenian dan kebudayaan yang ada di Bumi Kenyalang ini.
“Seperti yang kita ketahui negeri Sarawak ini kaya dengan kesenian dan kebudayaan yang pelbagai. Salah satu daripadanya adalah tarian nopeng. Ia perlu terus dihidupkan di negeri ini supaya tradisi itu tidak berkubur dan generasi baharu mengetahui bahawa ia mampu menyatupadukan rakyat negeri ini.
“Nopeng ini juga membawa maksud ‘Tarian’ yang sinonim dengan masyarakat kita pada hari ini. Aktiviti nopeng boleh dijulang sebagai lambang keharmonian dan perpaduan di negeri kita kerana ianya selalu menjadi pilihan untuk berhibur kepada semua lapisan masyarakat di negeri ini tanpa mengira bangsa dan peringkat umur.
Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis Pertandingan Nopeng peringkat akhir, di Dewan Suarah, Kuching, Semalam.
Beliau turut berkata, pertandingan yang dianjurkan kali ini telah mendapat sambutan hangat ramai daripada orang awam.
“Kita menerima banyak permintaan daripada orang awam untuk menganjurkan lebih banyak program seperti ini di masa hadapan.
Ini adalah kerana pertandingan kali ini hanya melibatkan peserta dari umur 7 sehingga 18 tahun sahaja.
“Pihak kami telah merancang akan mengadakan lebih banyak aktiviti dan program kesenian dan kebudayaan di masa akan datang dalam , bukan sahaja di Kuching malah di seluruh Sarawak.
“Oleh itu, saya menyeru agar penggiat kesenian dan kebudayaan di negeri ini untuk terus mempraktiskan apa yang sudah mereka amalkan dan memperkenal kesenian dan kebudayaan tersebut kepada generasi bahru agar ianya tidak lenyap ditelan zaman,” jelasnya.
Oleh Jeakqleyn Yacho