
BINTULU: Sambutan Hari Ibu di Times Square Megamall Bintulu hari ini berlangsung meriah menerusi penganjuran pertandingan mewarna yang berjaya menarik penyertaan ramai kanak-kanak dari pelbagai peringkat umur.
Program yang diadakan sempena sambutan Hari Ibu itu bukan sahaja menceriakan suasana pusat beli-belah berkenaan, malah menjadi platform bagi kanak-kanak menyerlahkan bakat serta kreativiti masing-masing melalui hasil seni dan penggunaan warna yang menarik.
Peserta dilihat tekun menyiapkan lukisan sambil ditemani ibu bapa yang turut hadir memberikan sokongan dan semangat sepanjang pertandingan berlangsung.
Selain pertandingan mewarna, pelbagai aktiviti lain turut diadakan bagi memeriahkan sambutan termasuk sesi bersama maskot, aktiviti interaktif kanak-kanak, lukisan muka serta pemberian belon kepada pengunjung.
Nurizzarah, seorang ibu yang ditemui berkata, sambutan Hari Ibu diadakan bagi menghargai jasa serta pengorbanan seorang ibu dalam membesarkan anak-anak dan menjaga keluarga.
“Hari Ibu ini sangat bermakna kerana ia menjadi tanda penghargaan atas segala pengorbanan dan kasih sayang seorang ibu yang sentiasa berusaha memberikan yang terbaik untuk keluarga,” katanya.
Menurutnya lagi, cabaran menjadi seorang ibu bukan sesuatu yang mudah kerana mereka perlu mengurus keluarga, membesarkan anak-anak serta memastikan keperluan rumah tangga sentiasa terjaga.
“Ada masanya ibu terpaksa mengetepikan kepentingan diri sendiri demi anak-anak dan keluarga, namun semua itu dilakukan dengan penuh kasih sayang,” ujarnya.
Sementara itu, penganjur program, Jumica berkata sambutan Hari Ibu diadakan sebagai tanda menghargai jasa dan pengorbanan golongan ibu yang sentiasa memainkan peranan penting dalam institusi keluarga.
“Hari Ibu bukan sekadar sambutan tahunan, tetapi satu penghargaan kepada ibu yang banyak berkorban demi anak-anak dan keluarga. Mereka juga merupakan insan yang telah melahirkan dan membesarkan kita dengan baik” katanya.
Sambutan Hari Ibu yang diraikan hari ini turut dilihat membawa suasana penuh keceriaan apabila keluarga mengambil peluang menyertai aktiviti yang disediakan sambil menghargai insan tersayang.
Oleh Faizah Muzidi