
SIBU: Pertandingan Menyumpit Antarabangsa sempena Pesta Kebudayaan Borneo (BCF) 2025 berlangsung meriah di Dataran Tun Tuanku Bujang Fasa 1 di sini hari ini dengan penyertaan lebih 100 peserta termasuk dari Indonesia dan Brunei.
Acara tahunan itu dirasmikan oleh Temenggong Stanley Geramong Bandar yang mewakili Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Goram, Datuk Jefferson Jamit Uyat.
Turut hadir Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Kaunselor Clarence Ting Ing Horh, Timbalan Pengerusi MPS Kaunselor Mohd Abdullah Izkandar Roseley, Setiausaha Politik Premier Sarawak William Anut serta pemimpin komuniti dan pengerusi pengelola pertandingan.
Geramong dalam ucapannya berkata, pertandingan menyumpit bukan sahaja mengangkat semula warisan tradisional yang menjadi identiti masyarakat Borneo, malah menjadi platform merapatkan hubungan antara komuniti dari pelbagai latar belakang dan negara.
“Perpaduan kaum di Sarawak terjalin bukan hanya melalui budaya, tetapi juga menerusi penghormatan terhadap alam sekitar yang menjadi warisan bersama. Pertandingan ini mencerminkan semangat persahabatan dan saling menghormati,” katanya.

Beliau menambah, penganjuran BCF sejak 2003 telah menjadi medium penting untuk mempamerkan kekayaan dan kepelbagaian budaya etnik di Sarawak termasuk masyarakat Dayak, Melayu-Melanau, Cina dan komuniti lain yang membentuk identiti unik Borneo.
“Festival ini unik kerana menggabungkan elemen tradisi dan inovasi, selari dengan tema tahun ini, ‘The Rhythm of Borneo’, yang mencerminkan keharmonian antara budaya, alam semula jadi dan cara hidup masyarakat Borneo,” jelasnya.
Geramong turut menekankan bahawa penganjuran konsisten BCF di Sibu telah menjadikannya antara festival budaya terbesar dan paling dinanti-nantikan di Sarawak, bukan sahaja menarik kehadiran pelancong, malah memperkukuh penglibatan masyarakat tempatan.
Menyentuh mengenai pertandingan menyumpit, beliau berharap para peserta dapat bertanding dalam semangat kesukanan dan menjadikan acara ini sebagai ruang memperkukuh jaringan serta kerjasama antara komuniti serantau.
“Sukan tradisional seperti ini bukan sekadar pertandingan, tetapi juga wadah mempererat hubungan profesional dan membina jalinan persahabatan yang lebih kukuh,” katanya lagi.
Tahun lalu, pertandingan sama menyaksikan penyertaan seramai 75 peserta, sekali gus menunjukkan peningkatan minat terhadap sukan tradisional yang berakar dalam budaya Borneo ini.
Oleh Tarani Lanting