
SARATOK: Sukan tradisional terus mendapat tempat dalam kalangan masyarakat apabila Pertandingan Slingshot (Melastik) sempena Pesta Saratok 2025 berlangsung meriah semalam, menarik penyertaan yang memberangsangkan.
Pertandingan yang diadakan di Gelanggang Futsal LAKIS Saratok itu dianjurkan oleh Kenyalang Slingshot Kuching dengan kerjasama Pusat Khidmat ADUN N.38 Kalaka.
Sebanyak 75 penyertaan individu bagi kategori 10 meter dan 15 kumpulan bagi kategori ‘Fast Sharpshooter Team’ telah mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut.
Pegawai Daerah Saratok, Mohammad Dino Amid, mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri, telah menyempurnakan majlis perasmian, manakala Hazirah Kasdi, Pegawai Pusat Khidmat ADUN N.38 Kalaka, menyempurnakan majlis penyampaian hadiah.
ADUN Kalaka, Mohamad Duri ketika dihubungi menyatakan bahawa usaha untuk memartabatkan sukan tradisional seperti melastik adalah satu inisiatif yang baik untuk menggalakkan penyertaan masyarakat dalam aktiviti riadah yang sihat dan menyatukan komuniti.
“Sambutan hangat daripada peserta dan penonton membuktikan minat yang tinggi terhadap sukan melastik, yang bukan sahaja menguji ketepatan tetapi juga kemahiran dan kecekapan.
Sukan ini sesuai untuk semua lapisan masyarakat dan tidak memerlukan kos yang tinggi,” katanya.
Mengenai pertandingan itu, bagi kategori 10 meter, telah dimenangi oleh Drahim Banin, kedua Subhana Sahari dan Mohd Arfizal Alam ditempat ketiga.
Bagi kategori ‘Fast Sharpshooter Team’ telah diungguli oleh Sniper SC, kedua Say Gen Dat dan ketiga Bahpian Slingshot. Manakala, pemenang Sharpshooter individu pula dimenangi oleh Subhana Sahari.
Sementara itu, kategori Tagline/intro terbaik pula telah dimenangi oleh Sniper SC, kedua Slingshot KAR98K dan ketiga Topaz.
Pertandingan ini turut disertai pasukan dari pelbagai daerah termasuk Sri Aman, Sibu, Mukah, Sarikei, Samarahan, Simunjan, dan Saratok, sekali gus membuktikan daya tarikan sukan tradisional ini di seluruh Sarawak.
Oleh Adi Safarman