
SARATOK: Kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri semakin dirasai di Kampung Kaba apabila Pertandingan Malam Kecerian Aidilfitri kembali dianjurkan tahun ini dengan sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, penganjuran program tersebut merupakan usaha berterusan untuk menyemarakkan suasana perayaan di samping mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan komuniti.

Menurut beliau, pertandingan itu dianjurkan oleh ahli jawatankuasa Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kampung Kaba dengan kerjasama Pusat Khidmat ADUN Kalaka.
Katanya, inisiatif tersebut bukan sahaja menceriakan kampung, malah memberi peluang kepada penduduk untuk mempamerkan kreativiti masing-masing dalam menghias kediaman sempena Aidilfitri.
“Beberapa buah rumah di Kampung Kaba telah mengambil bahagian pada tahun ini bagi merebut hadiah wang tunai yang disediakan oleh pihak penganjur,” katanya.

Bagi pertandingan kali ini, hadiah tempat pertama bernilai RM600, diikuti naib johan RM450 dan tempat ketiga RM300.
Sementara itu, pemenang tempat keempat menerima RM200, tempat kelima RM150, manakala tempat keenam hingga kesepuluh masing-masing membawa pulang RM100.
Penghakiman pertandingan akan dilaksanakan oleh barisan Ahli Majlis Daerah Saratok yang akan menilai berdasarkan kreativiti, keunikan serta keindahan hiasan rumah.
Mohamad Duri turut merakamkan penghargaan kepada ahli jawatankuasa PBB Kampung Kaba atas komitmen tinggi mereka dalam memastikan pertandingan ini dapat dianjurkan setiap tahun.
Beliau berharap program seumpama ini akan terus diteruskan pada masa akan datang kerana ia bukan sahaja menambahkan kemeriahan Aidilfitri, malah berjaya mencungkil bakat serta memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan penduduk kampung.
Oleh Adi Safarman