
SARATOK: Muzik terbukti mampu merapatkan hubungan masyarakat pelbagai kaum dan usia apabila Pertandingan Jemputan Penyanyi Elit Lagu Mandarin Veteran Ke-27 Seluruh Sarawak berlangsung meriah di Dewan Terbuka SJKC Min Syn, kelmarin.
Acara anjuran Persatuan Muzik Sehati Saratok itu menghimpunkan seramai 36 peserta, terdiri daripada 18 lelaki dan 18 wanita dari pelbagai bahagian di negeri ini, termasuk Sarikei, Sibu, Bintulu, Kuching, Samarahan dan tuan rumah Saratok.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri yang hadir pada majlis makan malam dan pertandingan tersebut berkata, muzik bukan sekadar hiburan, malah merupakan jambatan penting dalam menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di Sarawak.

“Muzik merentasi batas kaum, agama dan usia. Acara seperti ini membuktikan bagaimana seni boleh menjadi wadah untuk mengeratkan perpaduan masyarakat kita di Sarawak,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Majlis turut menyaksikan penyerahan simbolik replika cek kepada Pengerusi Persatuan Muzik Sehati Saratok, Phang Puk Kung sebagai tanda sokongan terhadap penganjuran pertandingan tersebut.
Sementara itu, Setiausaha Kehormat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Kalaka, Gapor Ahmad menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang bersama pimpinan masyarakat tempatan.
Pertandingan yang sudah memasuki tahun ke-27 ini terus menjadi platform bukan sahaja untuk menonjolkan bakat, tetapi juga untuk mengukuhkan keharmonian masyarakat Sarawak melalui seni dan budaya.
Turut hadir, wakil ADUN Krian, Tuai Rumah Spencer Gon, Pemanca Lim Guan Ann serta rombongan Pusat Khidmat ADUN Kalaka.
Oleh Adi Safarman