
SIBU: Pertandingan Kaligrafi Cina bukan sahaja mengetengahkan keindahan seni tulisan kaligrafi Cina, malah memperkukuhkan peranan warisan budaya dalam masyarakat majmuk.
Presiden Kehormat Gabungan Persatuan Cina (UCA) Sibu Temenggung Datuk Vincent Lau Lee Ming berkata, penganjuran Huichun setiap tahun bukan sekadar simbol kedatangan Tahun Baharu Cina, tetapi wadah menyatukan emosi dan identiti budaya komuniti melalui seni.
“Setiap sentuhan berus di atas kertas merah membawa doa, harapan dan aspirasi terhadap keharmonian keluarga, kesejahteraan masyarakat serta kemakmuran negara,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pertandingan Kaligrafi Cina Piala Datin Sri Wong Suk Ting 2026 Edisi ke-17 di UCA Sibu, hari ini.
Lau turut meghargai kerjasama semua pihak yang konsisten memastikan pertandingan ini dapat diteruskan sehingga edisi ke-17.
Katanya, kesinambungan program tersebut mencerminkan kecintaan mendalam masyarakat Cina di Sibu terhadap seni kaligrafi dan nilai budaya yang diwarisi turun-temurun.
“Dalam era globalisasi dan perkembangan teknologi yang pesat, budaya tradisional kian disisihkan sekiranya tiada usaha pemeliharaan yang berterusan.
“Justeru, pertandingan seperti ini menjadi platform penting untuk generasi muda mengenali, mendekati dan menghargai warisan budaya mereka,” katanya.
Seramai 234 peserta telah mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut yang dibahagikan kepada empat kategori iaitu sekolah rendah, sekolah menengah atas dan bawah dan kategori terbuka.
Turut hadir ialah Presiden UCA Sibu, Ngieng Hock Teck.
Oleh Akun Giman