
LONG LAMA: Sempena sambutan Krismas tahun ini, Klinik Kesihatan Long Lama telah menganjurkan Pertandingan Hiasan Krismas julung kalinya bagi memeriahkan suasana perayaan di tempat kerja.
Menurut Penolong Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Long Lama, Simon Lohat, pertandingan itu disertai tiga unit utama, iaitu Klinik Ibu dan Anak (KIA), Jabatan Pesakit Luar, dan Unit Farmasi.
“Objektif pertandingan ini adalah untuk mewujudkan suasana ceria dan semangat perayaan di tempat kerja melalui penghasilan dekorasi yang menarik, unik, dan bersesuaian dengan tema Krismas.
“Selain itu, ia juga bertujuan menggalakkan kreativiti, memperkukuh semangat kerjasama berpasukan, serta meningkatkan motivasi warga kerja,” kata Simon.
Beliau menambah, pertandingan ini bukan sahaja untuk menghias ruang kerja, tetapi juga memberi peluang kepada kakitangan menonjolkan kreativiti masing-masing dan mengeratkan hubungan antara unit.
Setiap unit dikehendaki menampilkan dekorasi bertemakan Krismas, dengan kriteria penilaian termasuk kreativiti dan inovasi, kebersihan, kekemasan, kemeriahan, keceriaan suasana, dan penggunaan bahan kitar semula.
“Pertandingan ini juga menjadi platform untuk mewujudkan suasana kerja yang positif sambil membolehkan kakitangan menunjukkan bakat kreatif mereka serta memupuk semangat berpasukan,” tambah Simon.
Pihak Klinik Kesihatan Long Lama berharap penganjuran pertandingan ini dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang.
Dalam pertandingan tersebut, Unit Klinik Ibu dan Anak muncul sebagai johan, manakala Jabatan Pesakit Luar dan Unit Farmasi masing-masing meraih tempat kedua dan ketiga.
Oleh Jiku Juguong