
KABONG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata penganjuran Pertandingan Gudi Sauk Tertutup Kabong berjaya menjadi platform terbaik dalam menyatukan masyarakat setempat melalui aktiviti sukan dan rekreasi.
Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan Majlis Penangguhan Pertandingan Gudi Sauk Tertutup Kabong yang berlangsung di Pantai Tanjung Kembang Kabong, semalam.
Chee Kadir berkata, pertandingan yang berlangsung selama dua hari itu telah mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan seramai 64 orang peserta yang mengesahkan penyertaan masing-masing.
Menurut beliau, program tersebut merupakan hasil penganjuran bersama Ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kampung Baru Kabong, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Tanjung Kembang dan Resort Pantai Tanjung Kembang Kabong dengan kerjasama Pusat Khidmat ADUN Kabong.

Katanya, penganjuran program ini juga bersempena sambutan Tahun Baharu 2026 yang bertujuan mengisi masa lapang masyarakat dengan aktiviti berfaedah serta menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan penduduk setempat.
Dalam pertandingan tersebut, johan telah dimenangi oleh Nasaruddin, manakala naib johan pula disandang oleh Ijam. Tempat ketiga dimenangi oleh Wong Fong Kuang dan tempat keempat menjadi milik Irfan.

Kesemua pemenang membawa pulang hadiah berupa piala dan wang tunai sebagai penghargaan atas pencapaian serta semangat kesukanan yang ditunjukkan sepanjang pertandingan berlangsung.
Chee Kadir berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai usaha berterusan untuk memperkukuh perpaduan, mengeratkan silaturahim serta memperkasakan penglibatan komuniti di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong.
Oleh Adi Safarman