
SIMANGGANG: Pertandingan futsal anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Rose Emma, Kampung Temudok Atas berjaya menghimpunkan penyertaan belia pelbagai kaum dalam suasana penuh semangat kesukanan dan perpaduan.
Timbalan Menteri Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis berkata, program seumpama itu bukan sahaja menjadi platform mencungkil bakat sukan, malah mampu memperkukuh hubungan sosial dalam kalangan komuniti setempat.
Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang, penganjuran pertandingan tersebut wajar dipuji kerana berjaya menarik penyertaan belia dari sekitar kawasan Simanggang.

“Syabas dan tahniah kepada jawatankuasa penganjur khususnya JKKK Kampung Temudok Atas kerana berjaya menganjurkan pertandingan yang memberi impak positif kepada masyarakat,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan pertandingan itu di Gelanggang Futsal Kampung Temudok Atas pada Ahad.
Beliau menambah, penganjuran aktiviti tersebut turut memanfaatkan fasiliti kerajaan sedia ada selain menjadi medium penting dalam memupuk semangat perpaduan dan persaudaraan dalam kalangan peserta.
Pertandingan sehari itu menyaksikan penyertaan 15 pasukan yang bersaing merebut gelaran juara dengan tawaran hadiah lumayan termasuk wang tunai RM1,000, pingat dan piala iringan bagi johan.
Pasukan Miasim FT muncul juara, diikuti Datus FT sebagai naib johan, manakala LND FT dan Octopus FT berkongsi tempat ketiga. Anugerah penjaring terbanyak dimenangi Mohamad Rafiq dari Miasim FT, manakala penjaga gol terbaik menjadi milik Muhamad Izwandy, juga dari pasukan yang sama.
Dalam pada itu, Harden turut mengumumkan kelulusan peruntukan projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) berjumlah RM200,000 bagi tahun 2027 untuk kerja naik taraf Gelanggang Futsal Kampung Temudok Atas demi keselesaan dan manfaat berterusan kepada komuniti setempat.
Oleh Adi Safarman