
BINTANGOR: Seni warisan Iban kembali menjadi tumpuan apabila tujuh kumpulan berentap dalam pertandingan betaboh dan ngajat sempena Pesta Meradong 2025, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing memuji usaha penganjur yang terus memperkasa budaya masyarakat Iban.
“Pertandingan ini bukan sahaja memeriahkan pesta, tetapi turut memperkukuh perpaduan dan menonjolkan kekayaan budaya masyarakat Sarawak.
“Saya difahamkan tahun ini merupakan kali ketiga ia diadakan sempena Pesta Meradong dengan penyertaan dibuka kepada rakyat Sarawak berumur 12 tahun ke atas.

“Sebanyak tujuh kumpulan berentap pada malam ini untuk merebut hadiah wang tunai yang lumayan,” katanya ketika berucap pada perasmian pertandingan tersebut.
Katanya, penganjuran pertandingan seperti ini penting bagi memastikan seni tradisi masyarakat Iban terus diwarisi generasi muda.
“Penganjuran pertandingan ini menanam minat masyarakat terhadap warisan budaya agar ia tidak tenggelam ditelan zaman.
“Saya menggesa generasi muda agar terus aktif dalam aktiviti kebudayaan.
“Melalui penyertaan aktif, nilai budaya dan semangat cinta terhadap warisan bangsa dapat terus hidup dan diwarisi,” katanya.
Koung Hiing turut mengumumkan bahawa beliau akan menyalurkan geran khas Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM5,000 kepada Persatuan Tuai-Tuai Rumah Daerah Meradong pada 2026.
Turut hadir Pengerusi Persatuan Tuai-Tuai Rumah Daerah Meradong, Tuai Rumah Kichu Ajan; Pegawai Daerah Meradong, Thomas Geoffery Kendawang; Setiausaha Majlis Daerah Meradong dan Julau (MDMJ), Lau Chi Sing.
Oleh Earl Anek