KUCHING: Peningkatan jumlah pelajar di Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak susulan pelaksanaan dasar pendidikan tinggi percuma Sarawak menimbulkan kebimbangan terhadap keupayaan institusi itu mengekalkan kualiti pendidikan.
Pembantu Khas kepada Ahli Parlimen Kuching, George Lam, berkata beliau menerima aduan daripada pelajar berhubung kesesakan dalam program pengajian, kekurangan kemudahan fizikal serta peningkatan penggunaan kelas secara dalam talian.
Menurutnya, sesetengah program kini dilaporkan mempunyai lebih 800 pelajar, berbanding sekitar 200 sebelum pelaksanaan dasar berkenaan, sedangkan dewan kuliah terbesar universiti itu hanya mampu menampung kira-kira 300 pelajar.
“Sebagai graduan Swinburne, saya tahu sebelum pelaksanaan dasar pendidikan tinggi percuma, setiap program mempunyai maksimum sekitar 200 pelajar. Kini, sesetengahnya mempunyai lebih 800 pelajar pada satu-satu masa,” katanya.
Lam berkata peningkatan jumlah pelajar itu menyukarkan pelaksanaan kuliah dan tutorial secara bersemuka, selain berpotensi meningkatkan beban kerja pensyarah.
Beliau berkata keadaan berkenaan boleh memberi kesan terhadap kualiti pengajaran sekiranya kapasiti kemudahan dan tenaga pengajar tidak ditingkatkan seiring pertambahan jumlah pelajar.
Lam turut mendakwa menerima maklum balas bahawa sesetengah pensyarah menggunakan rakaman video yang dihasilkan ketika pandemik COVID-19 bagi sesi tutorial dalam talian berikutan peningkatan beban mengajar.
“Keadaan ini mengurangkan interaksi secara langsung antara pelajar dan pensyarah serta menjejaskan kualiti pengajaran yang sepatutnya diberikan melalui tutorial,” katanya.
Beliau turut membangkitkan isu penginapan pelajar, dengan mendakwa kemudahan sedia ada tidak mencukupi untuk menampung pertambahan jumlah pelajar.
Katanya, keadaan itu menyebabkan sesetengah pelajar terpaksa menyewa bilik yang lebih jauh dari kampus.
Lam berkata ketiadaan pengangkutan percuma bagi pelajar yang tinggal lebih jauh turut menimbulkan kebimbangan dari aspek keselamatan.
Menurutnya, terdapat pelajar yang dilaporkan berjalan kaki melalui kawasan bulatan Simpang Tiga yang sibuk untuk ke kampus.
Lam menegaskan beliau menyokong dasar pendidikan tinggi percuma kerajaan Sarawak, namun pelaksanaan dasar itu tidak seharusnya menjejaskan kualiti pendidikan dan keselamatan pelajar.
Sehubungan itu, beliau menggesa Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) menjalankan audit kualiti menyeluruh terhadap program berkaitan di Swinburne Sarawak bagi memastikan pematuhan terhadap piawaian ditetapkan serta kecukupan kemudahan dan tenaga pengajar.
Lam turut menggesa kerajaan Sarawak melalui Yayasan Sarawak mempertimbangkan peluasan dasar berkenaan kepada universiti dan kolej yang layak di seluruh Malaysia.
Katanya, langkah itu dapat memberikan lebih banyak pilihan kepada pelajar, selain membantu mengurangkan tekanan terhadap kapasiti institusi yang menerima peningkatan kemasukan pelajar.
Oleh Connie Chieng




