
SARAWAK kini berada di persimpangan penting dalam sejarah politiknya.
Cadangan penambahan 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) baharu, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 99 kerusi, menandakan satu fasa perubahan besar dalam pentadbiran negeri.
Hampir pasti setakat penulisan dihasilkan didapati bahawa 10 daripada kerusi baharu itu bakal diperuntukkan kepada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Komposisi jangkaan
PBB dijangka menerima 10 daripada keseluruhan 17 kerusi baharu yang akan dibentangkan, dengan tujuh daripadanya terletak di kawasan majoriti Melayu dan tiga di kawasan majoriti Melanau.
Sebagai parti paling dominan dalam gabungan pemerintah Gabungan Parti Sarawak (GPS), PBB kini memegang jumlah kerusi terbanyak dalam DUN, iaitu sebanyak 47 daripada 82 kerusi sedia ada.
Daripada baki tujuh kerusi baharu, ia akan diperuntukkan kepada tiga parti komponen GPS yang lain. Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dijangka menerima tiga kerusi – satu di kawasan majoriti Cina dan dua lagi di kawasan campuran Cina-Iban.
Sementara itu, Parti Rakyat Sarawak (PRS) akan diberikan dua kerusi, kedua-duanya di kawasan majoriti Iban. Parti Demokratik Progresif (PDP) pula turut menerima dua kerusi – masing-masing satu di kawasan majoriti Bidayuh dan satu lagi di kawasan majoriti Orang Ulu.
Penamaan kerusi baharu
Menurut beberapa sumber, antara kawasan majoriti Melayu yang berkemungkinan menjadi kerusi baharu untuk PBB termasuk Sejinjang (Santubong), Serapi dan Semarak (Petra Jaya), Bukit Kemuyang (Sibu), serta Permaisuri (Miri).
Kawasan majoriti Melanau pula dijangka meliputi Susur Jambu (Sarikei) dan Oya (Mukah).
Bagi SUPP, kerusi yang dijangka berada di kawasan majoriti Cina ialah Seladah (Bandar Kuching), manakala dua kerusi campuran Cina-Iban yang berpotensi ialah Tanahmas (Lanang) dan Sungai Merah (Sibu).
Untuk PRS, dua kerusi majoriti Iban yang dikenal pasti ialah Bukit Arip (Selangau) dan Melekun (Kapit). Selain itu, kawasan Tabau dan Tudan di Miri juga berkemungkinan dikategorikan sebagai kawasan majoriti Iban, meskipun pengagihan muktamad masih tertakluk kepada perubahan.
Tiga kawasan lain yang dijangka menjadi kerusi baharu ialah Jagoi (Mas Gading), Sungai Serin (Serian), dan Usun Apau (Baram), yang masing-masing mewakili majoriti pengundi Bidayuh dan Orang Ulu.
PBB tulang belakang pemerintahan
PBB menerima lebih banyak kerusi dalam penambahan 17 kerusi baharu DUN. Terdapat beberapa rasional peningkatan tersebut.
Selama ini, terdapat konsistensi PBB sebagai tulang belakang pemerintahan negeri lebih 50 tahun yang dilihat lebih stabil, teguh, dipercayai dan menjadi teras dalam lanskap politikSarawak.
PBB telah menunjukkan kestabilan politik yang berterusan dalam memimpin kerajaan negeri Sarawak selama beberapa dekad sejak penubuhan pada 1973.
Di bawah kepimpinan PBB, Sarawak menikmati tempoh pemerintahan yang konsisten tanpa pergolakan besar, satu pencapaian penting dalam konteks politik negeri dan Malaysia.
Pertambahan lebih banyak kerusi kepada PBB boleh dilihat sebagai pengiktirafan terhadap peranan dan rekod pencapaian positif mereka dalam mentadbir negeri, memastikan kesinambungan dasar dan mengekalkan kepercayaan rakyat.
Peningkatan kawasan Melayu-Melanau
Daripada 10 kerusi baharu yang dikaitkan dengan PBB, tujuh daripadanya berada di kawasan majoriti Melayu dan tiga di kawasan majoriti Melanau.
Aspek ini mencerminkan pertumbuhan populasi dan keperluan kawasan-kawasan ini untuk lebih banyak perwakilan dalam DUN.
Bukan sahaja dari segi bilangan penduduk, kawasan Melayu-Melanau juga menyumbang besar kepada kestabilan sosial dan politik Sarawak. Justeru, memperkukuh perwakilan mereka bermakna memperkukuh suara rakyat di kawasan-kawasan strategik ini.
Pemangkin pembangunan
PBB telah memainkan peranan utama dalam membawa pembangunan infrastruktur ke kawasan luar bandar dan ini merupakan satu aspek penting dalam konteks Sarawak yang geografinya luas dan mencabar.
Projek seperti pembinaan jalan luar bandar, empangan hidroelektrik, dan program bekalan air bersih telah banyak digerakkan di bawah kerajaan negeri yang diterajui PBB.
Dengan tambahan kerusi, PBB dapat mengukuhkan jentera dan kapasiti perwakilan mereka di kawasan-kawasan terpencil, sekali gus mempercepat usaha pembangunan dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Kepimpinan PBB
Sejak pembentukan Gabungan Parti Sarawak (GPS), PBB terlibat aktif menjadi pelopor berorientasikan autonomi dan hak Sarawak khususnya dalam memperjuangkan hak-hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Idea-idea dikemukakan oleh Pehin Sri Adenan Sastem, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan kesinambungan suara seperti Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali antaranya begitu menyerlah di peringkat negeri dan nasional.
Mereka berpengalaman luas dalam mengetuai perbincangan mengenai royalti minyak, pemulangan kuasa pendidikan, dan autonomi kesihatan.
Penambahan kerusi kepada PBB bermakna pengukuhan suara dalam mempertahankan hak negeri di peringkat Persekutuan, di samping menjadikan DUN lebih efektif sebagai platform membuat dasar berasaskan kepentingan anak Sarawak.
Jaminan kestabilan dalam gabungan GPS
Dalam mana-mana gabungan politik, perlu ada pemimpin yang teguh dan jelas arah tujunya. PBB memainkan peranan ini dalam GPS.
Dengan jumlah kerusi yang lebih besar, PBB mampu menyediakan keseimbangan dan kestabilan dalam struktur kepimpinan GPS, sekali gus mengelakkan persaingan dalaman yang boleh menggugat pentadbiran.
Ia juga membantu memperkukuh keutuhan GPS dalam menghadapi cabaran politik di peringkat negeri dan Persekutuan.
Setiap kawasan baharu bermakna peluang lebih luas untuk rakyat diwakili secara dekat dan efektif. Dengan 10 kerusi tambahan, PBB berpeluang menempatkan lebih ramai wakil rakyat yang boleh berfungsi sebagai penghubung aktif antara kerajaan dan komuniti tempatan, termasuk di kawasan pesisir dan luar bandar yang selama ini memerlukan perhatian khusus.
Memperkukuh daya saing
Peningkatan ini djangka mampu memperkukuh daya saing politik Sarawak di pentas nasional. Hal ini kerana politik Sarawak kini bukan hanya berfungsi dalam kerangka negeri, tetapi juga memainkan peranan penting dalam membentuk Kerajaan Pusat.
Dengan memperkukuh perwakilan melalui PBB, Sarawak dapat muncul sebagai kuasa politik penting di Malaysia, sekali gus meningkatkan daya tawar (bargaining power) dalam isu-isu nasional.
Penting untuk difahami bahawa walaupun PBB memperoleh jumlah kerusi tertinggi, parti-parti lain dalam GPS tetap menerima bahagian masing-masing (SUPP – 3, PRS – 2, PDP – 2).
Sesuai dengan kekuatan dan jumlah ketumbukan yang ada dan turut mengambil kira komposisi etnik dan peranan masing-masing. Kerusi tambahan kepada PBB harus dilihat sebagai pelengkap, bukan ancaman kepada kerjasama dalam GPS.
Kesimpulan
Justeru, penambahan 10 kerusi kepada PBB dalam cadangan 17 kerusi baharu bukanlah semata-mata langkah politik, tetapi mencerminkan pengiktirafan terhadap prestasi, daya maju, pencapaian, kestabilan, dan daya kepimpinan parti itu dalam menerajui Sarawak ke arah masa depan yang lebih makmur.
Seterusnya memantapkan lagi PBB untuk memperkukuh penyampaian perkhidmatan, memperluas pembangunan, dan memperjuangkan hak negeri dengan lebih berkesan.
Dalam semangat perpaduan, langkah ini harus dilihat secara optimis iaitu sebagai usaha memperkukuh struktur politik negeri yang stabil, inklusif dan berwawasan serta meningkatkan kesejahteraan Sarawak.
- Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL)