KUCHING: Zon Halal Majma’ Mall adalah zon halal pusat beli-belah yang pertama diiktiraf di Malaysia.
Yang Di-Pertua, Majlis Islam Sarawak (MIS) Datuk Misnu Taha berkata, ini merupakan Projek Zon Halal yang kedua direalisasikan setelah Zon Halal Medan Selera Lundu pada Jun 2020 yang lalu.
“Projek Zon Halal ini merupakan sebuah program di bawah Pelan Strategik Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) 2019 hingga 2023 berkaitan Program Perkongsian Pintar Halal.
“Projek ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan keyakinan terhadap Pensijilan Halal kepada masyarakat awam.
“Sementara itu, projek ini juga dilihat menjadi salah satu daya tarikan pelancongan serta dapat meningkatkan sumber ekonomi usahawan yang terlibat,” katanya pada Majlis Perasmian Zon Halal Majma’ Mall, di sini, semalam.
Menurut beliau, pelaksanaa projek ini turut melibatkan beberapa rakan kongsi dan agensi Halal di negara ini secara langsung mahupun tidak langsung.
Jelasnya, antara yang terlibat adalah Bahagian Pengurusan Halal JAIS, Pejabat Agama Islam Bahagian Kuching dan Pengurusan Kompleks Islam Sarawak termasuk pelajar praktikal jurusan Pengurusan Halal dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Selain itu, Misnu turut memaklumkan projek ini turut melibatkan kerjasama Tabung Baitulmal Sarawak dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan (MINTRED).
“Untuk pengetahuan umum, Projek Zon Halal Majma’ Mall ini telah dilaksanakan atas keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Halal, MIS, pada 10 Ogos tahun lalu.
“Proses ini terbahagi kepada lapan langkah kerja iaitu penentuan zon Halal, taklimat zon Halal, proses kumpul maklumat syarikat, permohonan Halal, pembayaran, pengauditan pensijilan, kelulusan dan penyerahan.
“Ini bagi memastikan lokasi atau tempat yang dipilih dan ditetapkan seperti Majma’ Mall ini menjadi Zon Halal yang diyakini dan dipercayai oleh orang awam,” ujarnya lagi.
Dalam hal berkaitan, Misnu dalam kenyataan yang sama turut memaklumkan Unit Halal JAIS sedang giat melaksanakan ziarah Halal di beberapa kawasan yang terpilih.
“Kita menjalankan program Ziarah Halal terhadap pasar raya yang mempunyai gerai makanan bagi memaklumkan tentang faedah mendapatkan pensijilan Halal.
“Selain itu, kita juga turut mempromosikan sijil Halal kepada perniagaan yang lain seperti hotel-hotel,” katanya lagi.
Oleh AKMAL ADIB YUSUP