KUCHING: Sarawak sekali lagi melakar kejayaan yang pertama seumpamanya di negara ini apabila melancarkan empat unit perkhidmatan bas elektrik percuma yang menggunakan kuasa elektrik.
Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kesemua perkhidmatan bas elektrik berkenaan dilengkapi dengan teknologi terkini seperti sistem pengumuman perhentian bas automatik dan sistem kawalan kandungan siaran masa nyata.
“Perkhidmatan bas elektrik ini akan membantu memberi kemudahan kepada pengunjung yang menggunakan perkhidmatan percuma untuk sampai ke tempat-tempat pelancongan dan kemudahan di sepanjang laluan bas yang panjang seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Pusat Hidupan Liar Semenggoh, Laluan Warisan Kuching Lama, pusat perubatan swasta institusi pendidikan, pusat membeli-belah, Pasar Komuniti MBKS Stutong, Terminal Bas Ekspres Kuching Sentral dan Taman Persahabatan Malaysia-China.
“Ia juga dilengkapi dengan kemudahan seperti kerusi roda dan tempat duduk utama, WIFI percuma dan enam kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di setiap bas untuk keselamatan penumpang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Perkhidmatan Bas Elektrik anjuran Syarikat Kuching Metro di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, semalam.
Selain itu, bas ini juga menyediakan tempat untuk menyimpan basikal berlipat di mana peminat basikal boleh menaiki bas elektrik dengan hanya melipat basikal mereka ke dalam bas.
Bagaimanapun, bas ini hanya membenarkan dua unit basikal lipat pada satu-satu masa.
Tambahnya, sejajar dengan dasar Kerajaan Sarawak untuk memfokuskan pembangunan lestari, kementerian dengan bimbingan Ketua Menteri telah mencetuskan idea perkhidmatan bas bandar elektrik percuma untuk para pengunjung di Kuching.
“Untuk mendapatkan perkhidmatan bas elektrik percuma yang menepati masa, boleh dipercayai dan merangkumi laluan yang lebih panjang, kementerian mencadangkan untuk mempunyai empat unit perkhidmatan bas elektrik yang baru untuk merangkumi laluan yang lebih panjang dari 26 hentian bas kepada 54 hentian bas dari Dewan Undangan Negeri Sarawak (DUN) ke Pusat Hidupan Liar Semenggoh, yang merupakan salah satu destinasi pelawat paling popular di Kuching.
“Ia adalah permulaan yang baik dengan hanya memiliki empat unit perkhidmatan bas elektrik di Kuching dan berharap ia kelak diperkenalkan ke bandar-bandar lain seperti Sibu, Miri dan Bintulu untuk menyediakan pengangkutan alternatif kepada pengunjung,” jelasnya.
Katanya lagi, perkhidmatan bas elektrik ini juga mempunyai aplikasi tersendiri yang dikenali sebagai ‘Kuching Metro’.
“Aplikasi ini membolehkan pengguna bas untuk melakukan pemantauan waktu nyata mengenai lokasi dan anggaran masa ketibaannya.
“Ini kerana perkhidmatan empat unit bas elektrik dari DUN ke Semenggoh Wildlife Centre mengambil masa selang dua jam tiba ke lokasi untuk setiap bas,” katanya.
Oleh JEAKQLEYN YACHO