SKUAD Kuching City FC disaran supaya mempertajamkan jentera serangan bagi memburu gol sekiranya mahu mencabar kedudukan Liga Premier musim ini.
Penolong Ketua Jurulatih Kuching City FC, Sulaiman Hussin berkata dengan situasi pasukan semakin jatuh di tangga bawah Liga Premier, barisan kejurulatihan kini dilihat semakin risau dengan kegagalan memungut mata penuh.
“Dalam setiap perlawanan apabila bermain, haruslah pemain ingin menjaringkan gol namun perkara itu tidak berlaku kepada pasukan kami.
“Meskipun pasukan kami dilihat lebih bermain dengan ‘cantik’ dan menguasai permainan namun kelebihan gol berpihak kepada pasukan tuan rumah.
“Ini sudah cukup jelas bahawa menjaringkan gol adalah penting bagi sesebuah pasukan, dan ia lebih penting daripada menyajikan permainan yang cantik,” katanya selepas perlawanan menentang Kelantan FC, baru-baru ini.
Kuching City yang dikemudi oleh Irfan Bakti Abu Salim tewas kepada pasukan tuan rumah 1-0 hasil jaringan Natanael Siringo Ringo pada minit ke-45.
Sulaiman berkata, dalam bola sepak, pasukan yang pandai mengambil kesempatan dan peluang mereka akan menang.
“Dan Kelantan FC berjaya mengambil kesempatannya dalam satu peluang yang dia dapat. Kita banyak peluang tetapi kesudahannya Kelantan FC yang menang.
“Pada saya, apa yang kita inginkan dalam perlawanan adalah apabila anda bermain, anda menjaringkan gol. Lebih baik main macam Kelantan. Tak perlu main cantik namun berjaya mencipta jaringan. Kesudahan 90 minit, dapat tiga mata,” ujarnya.
Justeru, beliau tidak mahu memberi sebarang alasan punca kekalahan dan mahu fokus mencari strategi ampuh menambah mata pada aksi seterusnya nanti.
“Ini perkara yang kita hadapi daripada perlawanan pertama lagi. Kita tidak boleh memberi alasan. Kita kena cari strategi dan apa yang perlu kita lakukan, jika tidak kita akan ketinggalan jauh,” tegasnya.
Kuching City FC kini di tangga kesembilan Liga Premier dan berdepan risiko sukar bersaing untuk tempat ke Liga Super 2022 jika terus gagal mencatatkan kemenangan dalam aksi berikutnya.
Oleh ADI SAFARMAN