APABILA dibangkitkan isu keperluan 35 peratus kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak, ada pandangan-pandaNgan lain berkaitan isu ini dikemukakan oleh ahli akademik.
Isu ini berbangkit apabila Malaysia ditubuhkan pada 1963, Sabah, Sarawak, Singapura memperoleh 34.6 peratus daripada jumlah kerusi Parlimen.
Ketika itu, tiga negeri ini mempunyai 55 kerusi Parlimen daripada 159 jumlah perwakilan. Idea asal kewujudan ini adalah untuk memastikan hak negeri-negeri berkenaan terpelihara dan memastikan pindaan perlembagaan yang berlaku, suara ketiga-tiga negeri ini mempunyai semak dan imbang serta mampu memastikan kepentingan mereka tidak tergugat.
Apabila Singapura keluar Malaysia, dikatakan Sarawak dan Sabah sepatutnya mewarisi 15 kerusi dari peninggalan republik itu untuk menggenapkan 35 peratus. Namun tidak ada perubahan, sebaliknya menjadi berkurangan kepada 25.16 peratus sahaja.
Terdapat isu yang berbangkit di sini secara akademik, iaitu sama ada peruntukan 35 peratus itu terkandung dalam laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) yang dilihat sumber penting dalam pembentukan Malaysia, atau ada dalam dokumen Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Yang pasti dalam Perkara 18 Sarawak sebagai tambahan kepada Laporan IGC, terdapat beberapa perkara yang relevan, iaitu Perkara 15 mengenai Jaminan Perlembagaan yang menegaskan bahawa “tidak ada pindaan, perubahan, penarikan sebarang jaminan istimewa yang diberi kepada Sarawak oleh Kerajaan Persekutuan tanpa persetujuan positif kerajaan negeri yang berkaitan”.
Namun perkara ini seolah-seolah terhakis apabila pindaan Perlembagaan Perkara 1(2) pada Julai 1976. Selepas pindaan diluluskan, maka dalam Perlembagaan Persekutuan status Sabah dan Sarawak sama seperti negeri-negeri lain termasuk seperti negeri Perlis. Sebelum pindaan ini dilakukan, Malaysia terdiri dari negeri-negeri di barat Malaysia, Sabah, Sarawak dan Singapura.
Yang pasti ketika pindaan itu diluluskan di Parlimen, perkara tersebut tidak pernah dibincangkan dalam Dewan Undangan Negeri Sarawak. Sebab itu, sebelum ini terdapat keperluan meneliti semula apa-apa yang sudah diluluskan dari segi proses dan keputusan terus diterima tanpa perubahan pada masa akan datang bagi memastikan kepentingan Sarawak tidak terus terhakis.
Jalan penyelesaian
Sarawak dan Sabah kini baru memulihkan kedudukannya sebagai wilayah sebagaimana asal, sesuai dengan usaha pengiktirafan kedudukan kedua-dua negeri ini berdasarkan Perianjian Malaysia 1963. Hal ini cuba membuktikan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi bagi persekutuan tanah Melayu atau dikenali sebagai Semenanjung Malaysia.
Penguatkuasaan ini berlaku selepas Akta Perlembagaan (Pindaan) 2022 [Akta A1642] berkuat kuasa pada 11 Februari 2022. Dengan ini kedudukan dan kedaulatan Sabah dan Sarawak dikembalikan kepada Negeri Borneo di bawah Persekutuan bersama 11 negeri Tanah Melayu seperti asal apabila Persekutuan Malaysia dibentuk berdasarkan MA63.
Perwakilan Parlimen
Begitu juga Perkara 16 Sarawak mengenai Perwakilan Parlimen yang menegaskan bahawa perlu mengambil kira populasi penduduk Sarawak, saiz dan potensinya. Ia juga menyatakan dalam keadaan apa-apa sekali pun ia hendaklah tidak kurang daripada perwakilan Singapura.
Bermakna secara rasional ia memerlukan sejumlah perwakilan Singapura terdahulu iaitu 15 kerusi Parlimen dan dalam kedudukan realiti kini, ia memerlukan sejumlah lebih besar daripada itu.
Namun bagi Wong Chin Huat pengkaji politik dan demokrasi, berpendapat bahawa agihan kerusi yang dilindungi hanya berlangsung untuk tujuh tahun selepas Hari Malaysia dan sudah tamat selepas 16 September 1970.
Ia juga dilihat pematuhan ini lebih kepada pertimbangan politik dan bukannya atas kewajiban undang-undang. Pun begitu menurut Chin Huat, berdasarkan ketika pengisytiharan darurat di Sarawak pada 19 September 1966 dan pada 13 Julai 1976 ketika meminda Perkara 1(2) Perlembagaan Perseketuan untuk menurunkan taraf Sabah dan Sarawak daripada kategori khusus “Negeri Borneo” tidak ada bantahan yang jelas ditunjukkan oleh Ahli Parlimen Sarawak dan Sabah.
Dengan kata lain, pertambahan Ahli Parlimen tidak semestinya mengukuhkan suara wakil Parlimen Sabah dan Sarawak. Yang penting ialah perlunya reformasi sistem tersebut dengan memberikan autonomi tertentu bagi menjaga kepentingan Sabah dan Sarawak walaupun jumlah Ahli Parlimen tidaklah mencapai 35 peratus.
Pertambahan atau pengurangan
Langkah mendapatkan semula 35 peratus kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak bakal membolehkan kedua-dua negeri memiliki 78 daripada 222 kerusi.
Namun, persoalan di sini ialah adakah ia akan menambahkan peratus milik kerusi dengan menambahkan jumlah Parlimen sedia ada untuk Sarawak atau mengurangkan kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia, bagi memastikan terdapat 21 kerusi Parlimen baharu bagi Sabah dan Sarawak. Sudah pasti terdapat pro dan kontra dengan hal ini. Hal ini juga menarik untuk dikaji pendirian parti-parti politik.
Parlimen kepadatan tinggi
Sekiranya berlaku langkah mewujudkan kawasan baharu di Sarawak misalnya, terdapat kerusi-kerusi di bandar mempunyai jumlah pengundi yang sangat besar. Kerusi Parlimen Kuching, Miri dan Sibu misalnya kini mencecah sekitar 100,000 dengan mengambil kira pengundi automatik, pengundi muda dan pertambahan undi semasa.
Namun, di kawasan luar bandar terdapat kerusi Parlimen yang mempunyai kurang separuh daripada itu. Sudah pasti akan berlaku tuntutan untuk memecahkan kerusi yang mempunyai pengundi sangat tinggi itu.
Hal ini jika dipersetujui akan boleh memboleh kedudukan parti lawan GPS, iaitu DAP akan mempunyai kelebihan dan meningkatkan lagi jumlah kerusi Parlimen baharu yang diperoleh itu. Sekurangnya, lebih daripada separuh kerusi tersebut akan dijadikan kubu kuat DAP jika berasaskan kedudukan kerusi di kawasan kepadatan bandar.
Apabila banyak sistem daripada Westminster di United Kingdom dan negara Komanwel, banyak sekali diguna pakai dan dilaksanakan di Sarawak, sudah tentu hujah mengenai rasional penolakan berdasarkan jumlah penduduk di sesebuah lokaliti akan ditolak kerana n dipersepsikan sebagai dilihat kurang memihak kepada parti yang berkuasa.
Persempadanan semula kawasan pilihan raya Parlimen ini dijangka berlaku pada pilihan raya umum 2027 atau 2028. Hal ini bermakna landskap politik Sarawak terutama bagi GPS agak mencabar dengan wujudnya kawasan Parlimen baharu.
Di sinilah dapat dilihat pihak pembangkang begitu teruja dengan persempadanan baharu dengan harapan ini akan dapat mewujudkan kekuatan dan memperluaskan kubu kuat mereka berdasarkan pensempadanan baharu itu nanti.
Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL)