
KUCHING: Persimpangan lampu isyarat di Jalan Tun Jugah menghala ke Jalan Stampin akan ditutup sementara selama enam bulan bermula 18 Ogos 2025 hingga Februari 2026.
Perkara tersebut bertujuan memberi laluan kepada kerja-kerja pembinaan tiang jejambat stesen Transit Rapid Autonomi (ART) di bawah jajaran Red Line projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS).
Sarawak Metro Sdn. Bhd. (Sarawak Metro), anak syarikat milik penuh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa penutupan sementara itu dilaksanakan bagi membolehkan kerja pembinaan dijalankan dengan selamat dan lancar.
“Pengguna jalan raya dinasihatkan agar berhati-hati ketika melalui laluan tersebut serta mematuhi langkah pengurusan trafik dan papan tanda yang disediakan sepanjang tempoh penutupan.
“Pengguna jalan raya juga digalakkan menggunakan laluan alternatif untuk ke Jalan Stampin sepanjang tempoh tersebut,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Sarawak Metro turut merakamkan penghargaan atas sokongan dan kerjasama orang awam dalam usaha membangunkan sistem pengangkutan awam moden dan hijau demi keselesaan masa depan penduduk Greater Kuching.
Untuk rekod, Red Line merupakan salah satu daripada tiga jajaran di bawah Fasa 1 projek KUTS, selain Blue Line dari Rembus ke Hikmah Exchange dan Green Line dari Pending ke Damai.
Projek KUTS bakal memperkenalkan kenderaan ART berkuasa hidrogen tanpa pelepasan karbon yang akan beroperasi di lorong khas tanpa rel, sama ada di aras jalan atau bertingkat.
Perkhidmatan ART tersebut akan turut disokong oleh jaringan bas pengantara berkuasa hidrogen yang akan menyediakan perkhidmatan sambungan awal dan akhir perjalanan (first mile dan last mile) kepada penumpang.
Langkah penggunaan teknologi hidrogen itu selaras dengan aspirasi kerajaan Sarawak untuk memperkasa ekonomi hidrogen dan mendekarbonisasikan sistem pengangkutan awam di negeri ini.
Oleh Masrin Affirah