KUCHING: Persidangan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Kawasan Pertumbuhan Asean Timur-Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) menyediakan landasan terbaik bagi menyumbang kepada pembinaan masa depan yang mampan melalui TVET.
Pengerusi Sarawak Skill, Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain berkata, TVET dengan orientasinya terhadap dunia pekerjaan telah memainkan peranan yang semakin meningkat dalam menangani ketidakpadanan kemahiran di seluruh dunia.
”Tumpuan persidangan ini tertumpu kepada empat sub tema iaitu Memajukan Pembangunan Kemahiran untuk Masa Depan Pekerjaan, Transformasi Ekosistem TVET, Perkongsian Industri dan Institusi TVET, BIMP-EAGA dan Transformasi TVET.
”Perkongsian perspektif oleh pakar terkemuka, pengamal dan pemimpin pemikiran dari spektrum luas akademia, industri dan kerajaan dan perbincangan aktif dengan perwakilan semasa persidangan telah mewujudkan keperluan mendesak untuk mempertimbangkan isu-isu penting melalui lensa baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutupan Persidangan TVET BIMP EAGA di salah sebuah hotel di sini, hari ini.
Menjelas lanjut, katanya penganjuran persidangan itu juga akan membuka jalan kepada peluang baharu untuk menyumbang kepada pembinaan masa depan yang mampan untuk manfaat generasi semasa dan akan datang di seluruh wilayah BIMP-EAGA.
”Dengan peluang baharu untuk kerjasama di seluruh rantau BIMP-EAGA, adalah tepat pada masanya untuk kita semua meningkatkan tahap dalam menyediakan pendidikan terbaik berkaitan industri kepada penduduk yang lebih luas,” tambahnya.
Untuk rekod, persidangan itu dengan tema ’Membina Masa Depan Mampan Melalui TVET’, menghimpunkan pemimpin, pakar dan pemegang kepentingan utama daripada pelbagai sektor dan negara untuk membincangkan transformasi TVET yang sedang berlangsung.
Kira-kira 500 delegasi dari Malaysia, Brunei, Indonesia, Filipina dan negara lain menghadiri Persidangan TVET BIM-EAGA Keempat itu.
Oleh Rynna Sha’erra