
SIBU: Persidangan Tahunan Gereja Methodist Iban (Sarawak Iban Annual Conference – SIAC) Ke-50 melabuhkan tirainya dengan penuh bermakna selepas berlangsung selama lima hari, dari 8 hingga 12 November, di Ibu Pejabat Gereja Methodist Iban di sini.
Mengangkat tema ‘Gereja Ke Dikemaruka’ (Gereja yang Membangun dan Maju), persidangan berprestij itu menghimpunkan 167 peserta meliputi paderi, ketua zon, wakil jawatankuasa gereja tempatan serta pemimpin gereja dari seluruh Sarawak.
Majlis perasmian turut disempurnakan oleh Bishop Gereja Methodist Malaysia, Dr. T. Jeyakumar, yang hadir merasmikan bangunan baharu Ibu Pejabat Gereja Methodist Iban.
Dalam ucapannya, Dr. Jeyakumar menekankan peri pentingnya gereja terus memperkukuh pembangunan kerohanian dan perpaduan dalam kalangan umat, selain memberi fokus kepada pembimbingan golongan muda agar kukuh dalam iman dan berakhlak Kristian.
Sementara itu, Bonnie menyatakan rasa syukur atas kelancaran persidangan dan memuji komitmen warga gereja di seluruh Sarawak yang sentiasa berganding bahu dalam pelayanan.
Beliau turut menegaskan peranan penting program latihan seperti Church Planting Institute (CPI), Program Discipleship dan kelas Langham dalam memantapkan kepimpinan gereja.
Ujar beliau, paderi yang bersara juga didoakan agar terus diberkati dalam kehidupan seharian mereka.
“Gereja juga harus memperhebat pelaksanaan Program Evangelizing & Reaching Out ke rumah-rumah panjang di kawasan pedalaman bagi memperluas pelayanan dan penyebaran Injil,” jelasnya.
Sepanjang persidangan, semua Lembaga Pengarah (BOD) membentangkan laporan tahunan serta perancangan strategik bagi pengukuhan pelayanan gereja pada tahun akan datang.
Persidangan ditutup dengan doa dan perjamuan kasih, menandakan iltizam baharu seluruh warga Gereja Methodist Iban untuk terus mengangkat visi ‘Gereja Ke Dikemaruka’ demi kemuliaan Tuhan.
Turut menyertai majlis berkenaan ialah Presiden Gereja Methodist Iban, Reverend Bonnie Sedau, serta Ketua Periman SIAC, Andrew Shilling Banggit.
Oleh Tarani Lanting