KUCHING: Persidangan dan Pameran Hidrogen Hijau Asia Pasifik (APGH) 2024 akan berlangsung buat julung kalinya di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada 11 hingga 13 Jun 2024.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Dr Hazland Abang Hipni berkata, bersesuaian dengan hasrat Kerajaan Sarawak untuk menjadi perintis ekonomi Hidrogen Hijau di rantau Asia Pasifik dan komited ke arah peralihan tenaga menjelang 2030.
“Sarawak memiliki sumber yang boleh diperbaharui yang luas.
“Kami menyasar untuk beralih kepada hidrogen biru, dengan hidrogen hijau sebagai matlamat utama kami, untuk mengurangkan perubahan iklim dan mencapai masa depan yang mampan.
“Hab Petrokimia Sarawak dan Pelabuhan moden akan menyokong agenda Tenaga Hijau kami.
“Malah Sarawak berpotensi untuk menerajui Ekonomi Hidrogen di rantau Asia Pasifik dan menjadi yang pertama membangunkan ekonomi hidrogen hijau,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media Hidrogen Hijau Asia Pasifik 2024 di Bilik Media Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Jelas Hazland, pada peringkat global, berbilion dolar dilaburkan ke dalam inisiatif penyelidikan dan pembangunan hidrogen hijau.
“Sarawak lebih mampu untuk diletakkan sebagai hab global untuk teknologi canggih, produk, peralatan moden, sistem dan penyelesaian dalam sektor hidrogen.
“Usaha ini bukan sahaja akan menarik syarikat multinasional untuk melabur dalam teknologi hidrogen hijau tetapi juga memberi manfaat besar kepada industri pelancongan Sarawak, bagi mewujudkan lebih banyak pelaburan dan mewujudkan spin-off ekonomi dan mendapat publisiti di serata dunia.”
Sarawak dijangka menghasilkan 200,000 tan hidrogen hijau menjelang 2025 dan 2026 melalui kerjasama dengan syarikat asing yang melabur dalam sektor itu.
“Menjelang 2030, Sarawak akan bersedia sepenuhnya untuk peralihan tenaga, yang merupakan kunci kepada masa depan negeri kita.
“Persidangan dan Pameran Hidrogen Hijau Asia Pasifik 2024 ini memainkan peranan penting dalam merealisasikan wawasan PCDS 2030 di mana hidrogen adalah salah satu daripada tujuh sektor yang membolehkan.
“Saya gembira kerana penganjur menyasarkan APGH diadakan setiap tahun sehingga 2026 dan selepas itu setiap dwitahunan, sejajar dengan visi dan matlamat Sarawak seperti yang digariskan dalam PCDS2030,”ujarnya.
Oleh Azreen Keria