SALAH satu peristiwa bersejarah berlaku di Sarawak 44 tahun lalu adalah buat pertama kali Persidangan Majlis Raja-Raja diadakan di Kuching. Tarikh bersejarah itu berlangsung dari 3 hingga 4 Oktober 1979.
Peristiwa bersejarah ini melambangkan satu keutuhan perpaduan antara negeri-negeri di Malaysia yang mana Sarawak mendapat pengiktirafan besar untuk menganjurkan satu persidangan yang mempunyai sejarahnya tersendiri. Ini kerana Majlis Raja-Raja merupakan satu badan yang telah wujud sejak penghujung abad ke-19 lagi.
Penubuhan
Dari segi sejarahnya, Majlis Raja-Raja ini dibentuk apabila berlaku campur tangan British di Tanah Melayu. Campur tangan ini membawa penguasaan British ke atas Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang.
Kemudiannya keempat-empat negeri ini disatukan dibawah sebuah persekutuan yang dikenali sebagai Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada 1895. Setahun selepas itu, dibentuk Majlis Raja-Raja yang dianggotai keempat-empat sultan yang membentuk Negeri-Negeri Bersekutu.
Ketika itu majlis ini dikenali sebagai Durbar Raja-Raja Melayu. Perkataan Durbar ini berasal dari perkataan bahasa Parsi yang bermaksud Majlis Raja-Raja. Pada awalnya majlis ini berfungsi sebagai tempat perbincangan antara empat raja-raja ini dengan Residen British, Residen Jeneral dan Persuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu berkenaan dengan hal ehwal Negeri-Negeri Bersekutu.
Majlis ini sepatutnya mengadakan mesyuarat pertama pada 1896 tetapi ditunda pada 1897 kerana Sultan Abdul Samad ketika itu gering. Atas sebab itu pada 1897 mesyuarat pertama diadakan di Kuala Kangsar yang dihadiri oleh semua keempat-empat raja Melayu, residen British, ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Persuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu.
Agenda Perbincangan
Pada awalnya perbincangan dalam majlis ini adalah mengenai kewangan, cukai bijih timah dan candu, pembinaan landasan keretapi, soal tanah, penetapan peraturan buruh dan beberapa perkara hal ehwal Islam. Satu lagi fungsi besar majlis ini ialah melindungi hak orang Melayu.
Hal ini boleh dilihat dengan peranannya dalam mengukuhkan penglibatan orang Melayu dalam Perkhidmatan Awam Melayu (MSC) dengan meminta agar peruntukan kewangan diberi kepada orang Melayu untuk meningkatkan pendidikan mereka.
Perjalanan mesyuarat majlis ini sedikit terganggu kerana peranan majlis ini diambilalih oleh Majlis Mesyuarat Persekutuan yang ditubuh pada 1909. Tindakan menubuh majlis ini sebagai mencerma kedaulatan Sultan-Sultan di empat negeri ini sebagai sebagai punca kuasa dalam persekutuan Negeri-Negeri Bersekutu.
Selepas Perang
Selepas Perang Dunia Kedua, majlis ini distruktur semula menerusi Perjanjian 1948. Menerusi perjanjian ini, semua Raja-Raja di Tanah Melayu menganggotai majlis ini. Majlis ini dikenali pula sebagai Majlis Raja-Raja.
Dalam perubahan ini munculnya peranan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja yang menyimpan cap Mohor Raja-Raja Melayu dalam tulisan jawi, manakala cap Mohor Raja-Raja Melayu berbahasa Inggeris disimpan oleh pegawai British yang dilantik oleh Raja-Raja dengan persetujuan Persuruhajaya British.
Majlis ini mengalami perubahan apabila Tanah Melayu mencapai kemerdekaan dengan keanggotaannya disertai oleh ketua kerajaan negeri bagi Pulau Pinang dan Melaka. Apabila Malaysia ditubuhkan keanggotaannya bertambah lagi dengan penyertaan dari Ketua negeri bagi Sarawak, Sabah dan Singapura. Pemisahan Singapura menyebabkan keanggotaan Singapura tamat dalam majlis tersebut.
Penyertaan Sarawak
Penyertaan Sarawak dalam penubuhan Malaysia membawa kepada penyertaan Yang Dipertua Negeri Sarawak daripada Tun Abang Haji Openg hingga kepada Pehin Seri Tun Abdul Taib Mahmud. Adakala pemangku Yang Dipertua Negeri akan menyertai majlis tersebut.
Penyertaan Sarawak dalam majlis ini diperkukuhkan lagi apabila Sarawak menjadi tuan rumah kepada Persidangan Majlis Raja-Raja ke-116. Ketika itu Yang Dipertua Negeri Sarawak adalah Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin. Beliau menjadi pemimpin tertinggi Sarawak yang paling berbesar hati menerima tetamu kehormat dari seluruh Malaysia.
Namun demikian Sarawak bukanlah negeri pertama diberi penghormatan mengadakan persidangan di luar ibu kota Kuala Lumpur. Sebelum itu Pulau Pinang diberi pengiktirafan pertama manakala Sarawak pula menjadi negeri kedua mendapat penghormatan seumpama itu.
Sambutan
Penghormatan mengadakan persidangan ini merupakan tugas yang mencabar bagi kerajaan negeri Sarawak. Ini kerana Sarawak harus menunjukkan keupayaannya sebagai tuan rumah untuk menyambut kehadiran dan meraikan Yang di-Pertuan Agong, Sultan-Sultan dan Yang Dipertuan Negeri.
Bagi mengurus hal ini, maka sebuah Pusat Kawalan Negeri diwujudkan, dan pusat ini diletakkan dibawah tanggungjawab Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abang Yusuf Puteh. Tugas pusat kawalan ini adalah untuk menyelaras kegiatan 59 jawatankuasa kecil.
Sebanyak 78 acara telah disediakan untuk tetamu Diraja dan orang kenamaan yang akan hadir pada persidangan tersebut. Acara ini termasuklah lawatan ke tempat-tempat menarik di Kuching dan sekitar Kuching seperti Muzium Sarawak, Kedai Kesenian, Pertunjukan Pertanian dan Orkid, kedai tembikar tanah dan sebagainya.
Dalam acara ini juga diselit dengan lawatan meninjau dan melihat sendiri cara hidup penduduk tempatan seperti di rumah panjang. Kampung-kampung tertentu pula dipilih untuk tujuan tersebut seperti Kampung Ana Rais, Padawan, Kampung Mongkos, Serian, Rumah Beji, Betong, dan Po Ai berdekatan Sri Aman.
Persidangan
Pada 2 Oktober 1979 Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong telah tiba di Kuching. Baginda dan Raja Permaisuri Agong telah disambut oleh Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin dan isteri, Toh Puan Datin Patinggi Dayang Umi Kalthum. Sekumpulan rakyat Sarawak pula berbaris di sepanjang jalan dari Lapangan Terbang Kuching hingga Istana Tetamu.
Selain Sultan-Sultan Melayu dan Yang Dipertuan Negeri serta wakil-wakil mereka yang hadir pada persidangan ini, Timbalan Perdana Menteri, Dato Seri Mahathir Mohammad turun berangkat ke Kuching untuk menghadiri persidangan tersebut. Beberapa orang menteri kabinet juga turut serta dalam persidangan ini.
Sementara itu persidangan Majlis Raja-Raja ini telah diadakan di Dewan Persidangan Bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak. Persidangan ini telah dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Nukilan ini sebahagian kecil sahaja catatan mengenai persidangan Majlis Raja-Raja yang berlangsung di Sarawak. Sudah pastinya peristiwa ini memberi keutuhan integrasi nasional dalam usaha merapatkan hubungan Sarawak dengan Kerajaan Pusat serta Raja-Raja Melayu.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia.