
PETRA JAYA: Persidangan Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan diadakan pada 7 Julai ini.
Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar memaklumkan Persidangan Khas ini susulan notis yang dikeluarkan di bawah Peraturan Mesyuarat 8(3), setelah menerima permohonan rasmi daripada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau memaklumkan bahawa sehingga kini, tiada sebarang Rang Undang-Undang (RUU) yang telah diterima untuk dibentangkan dalam sesi tersebut.
“Susulan permohonan tersebut, notis telah dikeluarkan kepada kesemua 82 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk menghadiri Persidangan Khas pada 7 Julai 2025.
“Namun begitu, sehingga kini saya belum menerima sebarang rang undang-undang berkaitan, dan sebarang ulasan lanjut pada tahap ini hanya bersifat spekulatif,” katanya dalam sidang media sempena Program Parlimen Mahasiswa Penggal Ketiga Siri 1, di sini hari ini.
Menurut Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia, pra-majlis dan sidang media akan diadakan selepas RUU diterima bagi memberi penjelasan lanjut mengenai kandungan utama persidangan khas tersebut.
Ketika mengulas sama ada Persidangan Khas itu berkaitan dengan isu persempadanan semula kawasan DUN dan Parlimen di Sarawak, beliau menjelaskan bahawa perkara tersebut tidak dapat disahkan selagi dokumen rasmi belum diterima.
Namun begitu, beliau tidak menafikan kemungkinan berkenaan.
“Sama ada bilangan kerusi akan bertambah atau berkurang, saya tidak pasti kerana saya masih belum menerima apa-apa RUU. Oleh itu, saya tidak boleh mengulas lanjut walaupun saya berhasrat untuk berbuat demikian,” katanya.- UKAS