KUCHING: Kerajaan Persekutuan telah meluluskan RM8 juta di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) Rolling Plan Pertama pada 2021 untuk cadangan projek naik taraf dewan bedah dan pusat hemodialisis Hospital Kanowit.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Michael Tiang Ming Tee berkata, projek itu kini di peringkat pra-pelaksanaan.
“Bagi mesin Hemodialisis (HD) di Hospital Sarikei, terdapat 16 mesin disediakan untuk 16 mata.
“Pada masa ini terdapat 60 pesakit yang menerima perkhidmatan hemodialisis di Hospital Sarikei dan 16 mesin HD adalah mencukupi untuk menampung keperluan penduduk di Sarikei,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika persidangan hari kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19 penggal kedua di sini, hari ini.
Tambahnya lagi, bilangan mesin hemodialisis di Sarawak adalah mencukupi buat masa ini untuk menyediakan perkhidmatan hemodialisis di 21 hospital dan empat klinik kesihatan di Sarawak.
“Walau bagaimanapun, jabatan sedang mengemukakan cadangan menaik taraf kemudahan dan perolehan aset setiap tahun kepada Kementerian Kesihatan Persekutuan untuk peluasan perkhidmatan.
“Jabatan telah diberikan peruntukan sebanyak RM365,000 di bawah dana BPG Projects yang merangkumi kerja-kerja menaik taraf melibatkan sistem Private Automatic Branch Exchange (PABX) dan kerja-kerja berkaitan serta kerja-kerja penggantian keseluruhan paip bawah tanah dan sistem dalam bangunan perubatan,” ujarnya.
Terdahulu jelasnya, pada masa ini Hospital Sarikei mempunyai tiga ambulans yang berfungsi.
Katanya lagi, jabatan telah mengemukakan permohonan kepada Kementerian Kesihatan Persekutuan (KKM) untuk mendapatkan ambulans baharu melalui pembelian pusat dan tiga ambulans akan diperuntukkan ke Hospital Sarikei secara berperingkat.
Oleh Azreen Keria