
GEORGE TOWN: Persiapan akhir bagi sambutan Hari Wesak pada Ahad ini sedang giat dijalankan di Pulau Pinang dan lebih 15,000 penganut Buddha serta pengunjung dijangka hadir bagi meraikan perayaan itu.
Tinjauan Bernama di pekarangan bangunan Penang Lee Sih Chong Soo (Lee Kongsi) di Jalan Burma mendapati sukarelawan bertungkus lumus menyiapkan kereta berhias dengan ribuan kuntuman bunga selain mendirikan khemah di kawasan berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Hari Wesak Pulau Pinang Datuk Dr Loh Hock Hun berkata pihaknya sudah memulakan persiapan menyambut Hari Wesak sejak dua minggu lepas bagi memastikan semuanya berjalan lancar dan upacara menyalakan api akan berlangsung pada malam esok.

Beliau berkata sebanyak 23 kereta berhias akan memeriahkan perarakan sempena sambutan Hari Wesak peringkat Pulau Pinang tahun ini yang membawa tema “Merapatkan Melalui Digital, Memupuk Kebijaksanaan Bersama”.
“Perarakan itu menampilkan kereta berhias daripada pelbagai kuil dan organisasi Buddha, termasuk kereta berhias utama setinggi 4.5 meter daripada Persatuan Buddhist Malaysia (MBA) yang akan dihiasi dengan ribuan bunga segar dan lampu LED oleh pasukan profesional.
“Sambutan di Pulau Pinang tahun ini akan menampilkan perarakan besar pada Ahad bermula 6.00 petang iaitu perarakan tahunan yang telah menjadi tradisi sejak 1949,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Persiapan sambutan juga berjalan lancar di beberapa kawasan sekitar Pulau Pinang termasuk Kuil Kek Lok Si di Air Itam, Wat Chaiya Mangalaram di Lorong Burma dan Wat Buppharam di Jalan Perak di sini.
Loh berkata sambutan tahunan yang berlangsung selama sebulan itu merangkumi pelbagai acara, aktiviti keagamaan dan kerja-kerja kebajikan yang diadakan sebelum dan selepas kemuncak perayaan pada Ahad ini.

“Acara kemuncak merupakan perarakan Hari Wesak, namun terdapat juga acara lain termasuklah upacara ambang Wesak, jamuan makan malam, penyampaian sumbangan dan angpau kepada organisasi kebajikan, ceramah Dhamma, serta penyerahan dana kepada Sangha (pemberian sedekah kepada para sami),” katanya.
Beliau berkata upacara ambang Wesak dan sambutan Hari Wesak tahun ini dipindahkan ke Penang Lee Sih Chong Soo berbeza dengan lokasi selalu iaitu di bangunan MBA yang terletak berhampiran dan pertukaran disebabkan ibu pejabat tiga tingkat persatuan itu telah diruntuhkan bagi memberi laluan kepada pembinaan bangunan baharu setinggi 15 tingkat.
”Sehingga bangunan baharu itu siap, kami akan mengadakan upacara ambang Wesak dan perarakan Hari Wesak di Penang Lee Sih Chong Soo,” katanya.
Loh berkata bagi orang ramai yang ingin menyumbang bunga untuk hiasan kereta berhias utama, pengumpulan sumbangan dibuka di Penang Lee Sih Chong Soo pada 28 Mei (1.00 tengah hari hingga 9.00 malam), 29 Mei (9.00 pagi hingga 9.00 malam) dan 30 Mei (9.00 pagi hingga 6.00 petang).
Perarakan Hari Wesak dijadualkan bermula 6.00 petang Ahad ini dari Penang Lee Sih Chong Soo melibatkan laluan sepanjang tujuh kilometer melalui Jalan Kelawai, Lorong Burma, Lebuhraya Peel, Jalan Macalister, Jalan Perak, Jalan Anson dan Lorong Madras sebelum kembali ke lokasi permulaan.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut Supt Lee Swee Sake ketika dihubungi Bernama berkata pihaknya akan menutup jalan di kawasan perarakan Wesak secara berperingkat Ahad ini bermula 6.00 petang hingga selesai iaitu kira-kira 12.00 tengah malam hari sama.
Beliau berkata polis juga akan melaksanakan kawalan trafik dan keselamatan sepanjang tempoh tersebut termasuk melibatkan laluan sepanjang perarakan dan pergerakan perarakan bagi memastikan kelancaran trafik serta keselamatan peserta.

“Laluan perarakan yang terlibat ialah Jalan Burmah (Permulaan), Jalan Pangkor, Jalan Kelawai, Lorong Burmah, Jalan Burmah, Jalan Perak (lawan arus), Lebuhraya Peel (lawan arus), Jalan Macalister (lawan arus), Jalan Perak (lawan arus), Jalan Anson (lawan arus), Jalan Macalister, Lorong Madras dan kembali ke Jalan Burmah,” katanya.
Menurutnya, sebanyak 172 pegawai dan anggoya polis akan bertugas sepanjang sambutan itu bagi memastikan kelancaran dan keselamatan termasuk penugasan trafik.
Lee berkata orang ramai terutama pengguna jalan raya dinasihatkan agar merancang perjalanan mereka, mematuhi arahan anggota bertugas dan menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan trafik.
Hari Wesak adalah sambutan terpenting bagi penganut Buddha untuk memperingati kelahiran, pencerahan dan kematian pengasas agama itu, Siddharta Gautama yang diraikan dengan menyalakan colok, lilin berbentuk bunga teratai serta menabur bunga dan memandikan patung Buddha. – Bernama