
PETRA JAYA: Persiapan rapi dan disiplin tinggi menjadi fokus utama kontinjen Sarawak dalam misi mempertahankan gelaran juara keseluruhan pada Sukan Malaysia (Sukma) 2026 di Selangor.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, status sebagai juara bertahan tidak seharusnya menyebabkan kontinjen Sarawak berasa terlalu yakin, sebaliknya perlu terus memperkemaskan segala aspek persiapan bagi menghadapi saingan yang dijangka lebih mencabar.
“Setakat ini persiapan berjalan lancar. Walaupun kita merupakan juara bertahan, kita tidak menganggap diri kita sempurna. Sebab itu kita perlu membuat persiapan sebaik mungkin.
“Sudah tentu harapan saya adalah untuk melihat Sarawak sekali lagi muncul juara keseluruhan,” katanya pada sidang media Borneo Raft Safari 2026 di Bangunan Baitulmakmur, di sini, semalam.
Menurut Abdul Karim, keyakinan itu bersandarkan komitmen Perbadanan Sukan Sarawak, Ketua Kontinjen Sukma Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu serta semua persatuan sukan yang giat memperkukuh persiapan atlet.
Beliau berkata, beberapa atlet Sarawak kini menjalani latihan di luar negara sebagai persediaan fasa akhir menjelang temasya berkenaan bulan depan.
Bagaimanapun, beliau mengakui misi mempertahankan gelaran bukan sesuatu yang mudah memandangkan Selangor selaku tuan rumah merupakan antara kontinjen paling berjaya dalam sejarah penganjuran Sukma.
Pada masa sama, Abdul Karim mengingatkan atlet Sarawak supaya menjadikan maruah negeri sebagai sumber motivasi utama dan bukan semata-mata mengejar ganjaran kewangan.
“Kita tidak mahu atlet bertanding hanya memikirkan soal ganjaran. Kita mahu mereka menang demi Sarawak dan berasa bangga mengharumkan nama negeri kerana semangat itu akan membentuk jati diri mereka,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan yang dicapai hasil usaha gigih, disiplin dan semangat juang bukan sahaja mengharumkan nama Sarawak, malah membentuk sahsiah atlet sebagai wakil negeri.
Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Karim berkata pelancaran maskot rasmi Sukan SEA yang berlangsung di Kuala Lumpur pada Ahad lalu berjalan lancar, dengan maskot dan identiti rasmi temasya itu turut dipromosikan di Sarawak sebagai salah satu tuan rumah bersama Sukan SEA akan datang.




