
MIRI: Persiapan rapi sedang giat dijalankan bagi memastikan kelancaran sambutan Hari Sarawak 2025 yang bakal berlangsung di Miri, dengan pelbagai aktiviti dirancang untuk menyatukan rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Bagi memastikan segala perancangan berjalan lancar, satu sesi lawatan tapak dan Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksana telah diadakan, semalam.
Sesi tersebut melibatkan penyertaan pelbagai agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), serta komuniti setempat.
Lawatan tersebut diketuai oleh Pengarah Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara Sarawak, Datu Hamdan Sharbini dan melibatkan tiga lokasi utama iaitu Stadium Bandaraya Miri (lokasi Perhimpunan Hari Sarawak), Hotel Meritz (Majlis Kesyukuran Agama-agama Lain), serta Hotel Imperial (sesi Townhall Bersama Rakyat).
Selain lawatan, mesyuarat turut diadakan bagi menyelaras pelaksanaan serta pembahagian tugasan antara agensi dan jawatankuasa terlibat, demi memastikan penganjuran sambutan berjalan lancar dan memenuhi objektif yang ditetapkan.
Sambutan Hari Sarawak 2025 dijadual berlangsung dari 20 hingga 22 Julai depan, dengan pelbagai pengisian yang mencerminkan semangat perpaduan, patriotisme dan kenegaraan.
Antara acara utama yang bakal diadakan termasuk Karnival Jualan dan Sarawak Talent, sesi Zumba, Majlis Kesyukuran (Islam dan Agama-agama Lain), Unity Walk, sesi Townhall Bersama Rakyat, serta acara kemuncak iaitu Perhimpunan Hari Sarawak di Stadium Bandaraya Miri.
Hari Sarawak disambut setiap tahun pada 22 Julai sebagai memperingati penyerahan kuasa pentadbiran negeri kepada rakyat Sarawak pada 1963.
Tahun ini, Miri dipilih sebagai tuan rumah bagi sambutan peringkat negeri.
Oleh Adum Liu