
KUALA LUMPUR: Persiapan penganjuran Lan Berambeh Anak Sarawak (LBAS) 2025 yang akan berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC)esok berjalan lancar dengan penyertaan lebih 3,500 pelajar Sarawak dari seluruh Semenanjung.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Amar Fadillah Yusof, program yang diadakan sehari suntuk itu melibatkan kira-kira 280 sukarelawan terdiri daripada pelajar universiti anak Sarawak yang menuntut di Semenanjung, selain penyertaan hampir 3,500 pelajar universiti.
“Pelajar yang hadir akan mengikuti pelbagai pengisian pada sebelah pagi seperti ceramah kerjaya, pameran dan sesi temuduga pekerjaan.
“Semua agensi kerajaan negeri juga akan mempamerkan program, pencapaian serta inisiatif masing-masing supaya pelajar mendapat maklumat terkini berhubung pembangunan di Sarawak,” katanya ketika ditemui media di MITEC, hari ini.
Tambah beliau, kemuncak program merupakan sesi dialog terbuka bersama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang akan dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Sri Aman, Datuk Seri Doris Sophia Brodie.
“Sesi itu memberi ruang kepada anak Sarawak yang tinggal, belajar atau bekerja di Semenanjung untuk berinteraksi secara langsung dan menyuarakan pandangan mereka.
“Beberapa dasar kerajaan negeri sebelum ini turut tercetus hasil perbincangan dalam sesi dialog terbuka, antaranya Inisiatif Graduan Pulang Sarawak (i-GPS) yang menyediakan bantuan perjalanan dan sokongan kewangan kepada pelajar.
“Selain itu, program esok turut menampilkan sesi ‘Kenyalang Talk’ dan perkongsian kisah kejayaan anak Sarawak, serta pameran produk dan jualan makanan,” jelasnya.
Beliau mengulas lanjut bahawa majlis makan malam besar-besaran pada sebelah malam pula dijangka menghimpunkan sekitar 6,500 tetamu, termasuk Tuan Yang Terutama, barisan menteri, Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa sekitar 100 peluang pekerjaan akan diumumkan semasa program, susulan proses temuduga dan penilaian yang dijalankan sepanjang acara berlangsung.
Bagaimanapun, beliau mengakui persiapan kali ini berdepan cabaran dari segi logistik berikutan acara tersebut berlangsung serentak dengan ASEAN Summit di lokasi sama.
“Namun, insya-Allah semuanya dalam keadaan baik. Sekretariat serta para sukarelawan kita telah bersedia.
“Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk media, agensi negeri, Ahli Parlimen dan ADUN Sarawak yang terlibat menjayakan program tersebut,” ujarnya.
Oleh Masrin Affirah