


SERIAN: Baki beberapa hari lagi menjelang perayaan Aidilfitri penuh bermakna, bunyi mercun dan lampu berwarna-warni mula menerangi sekitar kawasan perumahan dan kampung, menghangatkan lagi kemeriahan Syawal yang akan tiba.
Sudah semestinya masyarakat Islam teruja untuk meraikan kemenangan mereka setelah sebulan menjalani ibadah puasa. Orang ramai kini kian rancak dan sibuk membuat persiapan masing-masing.
Mohd Jaafar Ismail, 62
Bagi tahun ini, saya hanya membuat persiapan secara bersederhana sahaja. Dari segi pakaian, perhiasan rumah, kuih-muih dan sebagainya, saya memilih untuk berjimat cermat ekoran kos barangan yang kian melambung.
Makri Loncheng, 57
Hari Raya merupakan perayaan yang paling dinanti-nantikan oleh seisi keluarga saya. Walaupun saya sibuk bekerja pada siang hari, saya sempat meluangkan masa menghias rumah pada sebelah malam bersama-sama anak saya.
Dayang Roziah Awang Joni, 52
Saya berasa amat teruja untuk menyambut lebaran kali ini. Walaupun saya membuat semua kek dan biskut Raya sendiri untuk mengurangkan perbelanjaan, ia tidak mematahkan semangat saya untuk meraikan perayaan tersebut.
Effarizan Putit, 46
Lebaran kali ini saya hanya melakukan persiapan biasa-biasa sahaja. Seperti tahun berikutnya, saya lebih gemar membuat kek sendiri di rumah dan menempah baju Raya dengan tukang jahit kampung. Bukan sekadar menjimatkan masa, tetap juga kos perbelanjaan seharian.
Zaimah Ide, 60
Saya sudah melakukan persiapan sejak awal bulan ini, sejak bermula Ramadan. Melihat jiran-jiran yang sudah memasang pelita dan lampu Raya, ia membuatkan saya lebih bersemangat untuk menyambut Syawal.
Khadijah Abdillah, 51
Persiapan Hari Raya untuk keluarga saya sedikit suram tahun ini. Saya hanya menyambutnya secara ala kadar sahaja ekoran insiden banjir yang telah membadai kediaman saya di Kampung Sorak Melayu pada bulan lepas.
OLEH AIN CHAI


