Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Persetujuan Petronas-Petros mesti berteraskan ‘win-win situation’, adil untuk semua – PMX
  • SEMASA

Persetujuan Petronas-Petros mesti berteraskan ‘win-win situation’, adil untuk semua – PMX

Utusan Sarawak 10 hours ago
ANWAR ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sambutan Gawai Peringkat Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), malam ini. Foto UKAS.

PETRA JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan sebarang persetujuan antara Petronas dan Petros perlu berteraskan kerjasama erat, situasi ‘menang-menang’ serta penyelesaian yang adil demi mengangkat martabat ekonomi Sarawak dan Malaysia secara keseluruhannya.

Perdana Menteri berkata, Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak kekal berpegang kepada persefahaman yang telah dicapai sebelum ini iaitu menghormati hak, peraturan dan undang-undang masing-masing selain memastikan kedua-dua syarikat tenaga itu bekerjasama bagi memanfaatkan potensi besar sektor minyak dan gas negara.

“Kita berbincang soal Petronas dan Petros dan kita kekal dengan pendirian yang dimeterai dalam persefahaman saya dan Premier Sarawak.

“Apa dia? Kita hormat hak, peraturan dan undang-undang masing-masing.

“Dan keduanya, kita tuntut supaya Petronas dan Petros bekerjasama mengangkat martabat Sarawak dan Malaysia keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sambutan Gawai Peringkat Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, malam ini.

Anwar berkata perkembangan rundingan antara kedua-dua pihak kini menunjukkan kemajuan yang amat positif dengan laporan terkini yang diterimanya memberi keyakinan bahawa penyelesaian muktamad dapat dicapai dalam masa terdekat.

“Kedua-dua kami, saya dan Premier Sarawak, menekankan kepada Petronas dan Petros supaya menumpukan kepentingan bersama, menjalin kerjasama yang erat dan mewujudkan situasi ‘menang-menang’.

“Ada peluang yang besar dan kita mahu perkara ini diselesaikan dengan adil, adil sebagai satu pasukan.

“Saya harap dalam tempoh terdekat kita dapat memuktamadkan persetujuan antara Petronas dan Petros untuk mengangkat martabat ekonomi kita di Sarawak dan juga Malaysia,” katanya.

Anwar berkata, persefahaman yang dicapai bukan sahaja penting kepada Sarawak malah mempunyai implikasi besar terhadap kedudukan Malaysia dalam industri tenaga global yang semakin kompetitif.

Beliau mendedahkan bahawa ketika lawatan rasmi ke Jepun dua minggu lalu, Perdana Menteri negara itu telah menyuarakan hasrat untuk memeterai perjanjian jangka panjang selama 20 tahun bagi menjamin bekalan gas dari Malaysia berikutan keyakinan terhadap keupayaan negara.

Katanya, perkara itu membuktikan bahawa dunia kini melihat Malaysia sebagai rakan strategik yang mampu menjamin bekalan tenaga dalam jangka masa panjang.

“Saya berjumpa dengan Perdana Menteri Jepun dua minggu lalu dan dia minta perjanjian jangka panjang 20 tahun jaminan bekalan gas kerana keyakinan kepada kita.

“Bayangkan, kita pergi ke Tokyo untuk perbincangan dua hala dan mereka turut menyentuh mengenai Sarawak kerana melihat potensi besar yang ada di negeri ini,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar menyifatkan hubungan erat antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak semakin kukuh, dibuktikan menerusi keputusan menyerahkan pengurusan Pelabuhan Bintulu kepada kerajaan negeri.

Beliau berkata, langkah tersebut mencerminkan tahap keyakinan, persahabatan dan perpaduan yang terjalin antara kedua-dua pihak dalam usaha memacu pembangunan negara secara bersama.

Menurutnya, sepanjang beliau memegang portfolio Menteri Kewangan sebelum ini dan sekarang, beliau tidak pernah menerima sebarang peruntukan daripada sesebuah negeri kerana kebiasaannya kerajaan negeri akan memohon dana daripada Kerajaan Persekutuan.

“Namun hari ini di Bintulu, saya menerima cek bernilai RM1.8 bilion. Saya tanya Datuk Amar Douglas Uggah Embas, saya mahu lihat cek itu sendiri kerana saya Menteri Kewangan dan tidak mahu sekadar melihat cek olok-olok sahaja.

“Ini kali pertama berlaku. Saya rasa seperti mimpi Gawai apabila menerima RM1.8 bilion daripada negeri. Selama ini tidak pernah berlaku, jadi sudah tentu saya teruja,” katanya.

Anwar berkata, perkembangan tersebut membuktikan bahawa tadbir urus yang baik, pematuhan kepada prinsip pentadbiran serta kepimpinan yang bertanggungjawab dan berwibawa mampu menghasilkan pulangan yang memberi manfaat kepada negeri dan negara.

“Saya tabik kepada pasukan kepimpinan Sarawak kerana berjaya melaksanakannya. Jika sesebuah negeri diurus dengan baik dan diterajui pemimpin yang kompeten serta bertanggungjawab, hasilnya pasti dapat dinikmati bersama,” katanya.

Oleh Shahrul Qaizat

Continue Reading

Previous: Rundingan berterusan bawa kejayaan penyerahan Pelabuhan Bintulu – Abang Johari
Next: Abang Johari mohon Kerajaan Persekutuan kaji semula insentif ekonomi baharu

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.