Persempadanan semula Sarawak mesti pastikan perwakilan adil – Mordi

Facebook
WhatsApp
TIMBALAN Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol.

KUCHING: Ahli Parlimen Mas Gading Mordi Bimol tidak menentang cadangan penambahan 17 kerusi DUN baharu kerana pertambahan perwakilan boleh dipertimbangkan bagi menampung pertumbuhan penduduk dan keluasan geografi Sarawak.

Menurutnya sempadan pilihan raya tidak boleh dijadikan alat untuk memanipulasi keputusan pilihan raya, sebaliknya mesti berteraskan prinsip demokrasi satu orang, satu undi.

“Sokongan terhadap proses berkenaan hadir dengan syarat penting, iaitu proses persempadanan mesti dilaksanakan secara adil, telus dan bebas daripada unsur gerrymandering (perbuatan menyusun atau mengubah sempadan kawasan pilihan raya secara sengaja untuk memberi kelebihan politik kepada parti atau kumpulan tertentu),” katanya.

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR)

Mengenai penstrukturan semula kawasan Parlimen Mas Gading, Mordi berkata beliau secara umum bersetuju dengan kemasukan DUN Serembu berdasarkan pertalian sejarah, budaya, bahasa dan hubungan komuniti Bidayuh di kawasan berkenaan dengan Bau.

Bagaimanapun, beliau membangkitkan isu ketidakseimbangan jumlah pengundi berdaftar apabila DUN Serembu hanya mempunyai kira-kira 76.6 peratus daripada purata jumlah pengundi berdaftar.

Katanya, kawasan itu perlu diperluaskan atau jumlah pengundinya ditambah bagi memastikan perwakilan yang lebih adil dan seimbang.

Mordi turut menarik perhatian kepada DUN Opar yang terletak dalam Daerah Lundu dari segi pentadbiran, namun mempunyai hubungan sosio-budaya dan komuniti yang rapat dengan Bau.

Beliau meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjelaskan jurang jumlah pengundi antara kawasan, dengan sesetengah kerusi luar bandar hanya mempunyai sekitar 10,000 hingga 11,000 pengundi manakala kawasan bandar seperti Piasau menghampiri 35,000 pengundi.

Beliau turut mempersoalkan kriteria pembahagian kerusi baharu mengikut kawasan Parlimen serta asas pemindahan sesuatu DUN keluar atau masuk ke sesebuah kawasan Parlimen.

Mordi juga meminta penjelasan mengenai rancangan kajian semula persempadanan kawasan Parlimen Sarawak kerana Ahli Parlimen kini perlu memberi khidmat kepada empat hingga lima kawasan DUN yang luas.

Notis cadangan persempadanan semula SPR dipamerkan mulai 1 hingga 30 September, dan Mordi menyeru pemimpin masyarakat, NGO, pihak berkuasa tempatan serta pengundi berdaftar supaya menyemak cadangan berkenaan dan mengemukakan bantahan atau cadangan secara bertulis kepada SPR sebelum atau pada 30 September sekiranya perlu.

Oleh Connie Chieng